FAJER Ebrahim. FOTO arkib NSTP
FAJER Ebrahim. FOTO arkib NSTP
Attirmidzie Rahman


STATUS pengendali Kelantan, Fajer Ebrahim kini di ambang bahaya apabila penyokong The Red Warriors (TRW) mula 'hilang sabar' dan mendesak jurulatih kelahiran Syria itu direhatkan serta merta.

Langkah itu perlu dilakukan segera bagi memastikan pasukan dapat bersaing dan terus kekal dalam Liga Super musim depan.

Presiden Kelab Penyokong TRW Kota Bharu (TRWKB), Mohd Zainy Zain berkata, persembahan terakhir pasukan di bawah kendalian Fajer semakin parah apabila beliau masih mengekalkan acuan sama dalam setiap perlawanan.

Katanya, kemampuan pemain muda dan strategi yang diguna gagal menghadirkan keputusan baik meskipun sebelum ini corak permainannya pernah mendapat pujian.

“Prestasi pasukan amat buruk dan membimbangkan semua penyokong susulan kekalahan demi kekalahan. Memang sebelum ini corak permainan di bawah kendalian Fajer ada menunjukkan peningkatan namun selepas beberapa perlawanan ia semakin tidak konsisten.

“Realitinya segala yang dicorakkan Fajer tidak menjadi berikutan pemain muda yang menjadi tunjang pasukan masih belum mampu bersaing untuk menghadapi pasukan lebih berpengalaman dalam Liga Super.

“Sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) memberi kata dua atau merehatkan Fajer serta merta,” katanya.

Kelantan yang tampil dengan semangat mahu bangkit menundukkan Selangor malam tadi, gagal menyerlah dan anak buah Fajer pulang dengan air mata ‘darah’ selepas dibelasah 4-0 di Stadium Cheras.

Keputusan itu menyaksikan Kelantan kini menduduki tangga tercorot liga dengan sembilan kekalahan setakat ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zainy berkata, keputusan merehatkan Fajer adalah relevan meskipun saingan liga sudah memasuki separuh musim.

“Ia satu keputusan tepat jika KAFA mahu lakukan memandangkan pasukan terus kalah dan berisiko ke Liga Perdana. Bagaimanapun, ia masih boleh dielakkan andai Fajer direhatkan atau berundur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Jun 2018 @ 4:20 PM