FOTO pada 17 Disember menunjukkan pemandangan yang dirakam di sekitar pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. FOTO BERNAMA
FOTO pada 17 Disember menunjukkan pemandangan yang dirakam di sekitar pantai Tanjung Balau, Kota Tinggi. FOTO BERNAMA
Omar Ahmad.


Kota Tinggi: Sektor operasi pencarian 16 mangsa pendatang asing tanpa izin (Pati) yang hilang dalam insiden bot pancung terbalik di perairan Tanjung Balau di sini, pada hari keempat, diperluaskan.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, sektor pencarian udara hari ini diperluaskan 76.5 batu nautika persegi.

manakala bagi pencarian di laut diperluaskan 106.02 batu nautika persegi.

"Ia menjadikan jumlah keseluruhan kawasan pencarian setakat ini seluas 182.5 batu nautika persegi meliputi Tanjung Balau hingga ke Sungai Rengit.

"Bagi pencarian udara ia membabitkan dua pesawat udara daripada APMM dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM). Bagi pencarian laut, empat aset laut daripada APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) PDRM.

"Pencarian di pesisir pantai diteruskan oleh agensi lain. Jumlah keseluruhan anggota penyelamat di darat, udara dan laut adalah seramai 77 orang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Simon, sehingga jam 8 pagi tadi, tiada penemuan mangsa baru direkodkan.

Semalam, terdapat satu mayat lelaki ditemukan di Perairan Tanjung Punggai, manakala salah seorang daripada 14 mangsa yang selamat disahkan meninggal dunia akibat lemas.

Ia menjadikan jumlah mangsa yang ditemukan kepada 34 iaitu 21 meninggal dunia, 13 selamat dan 16 lagi masih hilang.

Kelmarin, lapan mayat lagi ditemukan pada hari kedua operasi dengan 11 mayat ditemukan terdampar di Pantai Tanjung Balau pada pagi Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Disember 2021 @ 9:58 AM