AFP

St Andrews, Scotland: Zach Johnson (gambar) menjuarai Terbuka British awal pagi semalam, muncul pemenang selepas pertembungan playoff empat lubang mengatasi Louis Oosthuizen dan Marc Leishman.

Ia kejuaraan utama kedua pemain Amerika berusia 39 tahun itu selepas kejayaannya pada Masters AS 2007.

“Ia menyeronokkan. Masih berasa agak luar biasa. Nadanya agak merendah diri. Saya berasa bagai dikurnia untuk muncul juara dan satu penghormatan menjadi sebahagian daripada sejarah permainan ini,” ujar Johnson.

Sementara itu Jordan Spieth terlepas peluang mara ke playoff dengan satu pukulan sekali gus menyaksikan impiannya menjadi pemain kedua memenangi Masters AS, Terbuka AS dan British pada tahun sama berkubur.

Johnson, Oosthuizen dan Leishman semuanya berakhir dengan jumlah keseluruhan 15 bawah par 273 selepas Johnson dan Leishman merakam 66 dan Oosthuizen 69.

Ia mencetus playoff Terbuka British pertama sejak Stewart Cink menumpaskan Tom Watson di Turnberry pada 2009 dan playoff tiga penjuru pertama sejak 1999 apabila Paul Lawrie muncul juara.

Ia penamat hebat kepada saingan getir yang menyaksikan kelompok besar pendahulu saling bertukar tangan pada kejohanan kali kedua dalam sejarah 155 tahun ditamatkan pada Isnin.

Hujan lebat Jumaat lalu dan angin kencang Sabtu lalu menyebabkan permainan tertangguh.

Dimainkan di lubang 1, 2, 17 dan 18, Oosthuizen dan Johnson pantas menjarakkan diri daripada Leishman dengan birdie berbanding bogey buat pemain Australia itu.

Johnson kemudian di depan dengan birdie pada lubang kedua, namun pukulan keduanya teruk di lubang ke-17 dan bogey namun Oosthuizen terlepas tolakan empat kaki untuk menyamakan kedudukan.

Semuanya berakhir di lubang terkenal lubang ke-18 dan par sudah mencukupi buat Johnson apabila Oosthuizen terlepas tolakan dari jarak lapan kaki untuk memaksa sudden death.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 5:07 AM