KOTA BHARU: Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Periok, Abdul Rahman Awang, 76, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Pasir Mas, malam ini.

Adik ipar kepada Allahyarham Fauziah Che Wook berkata, Abdul Rahman meninggal dunia jam 7.45 malam ketika menerima rawatan.

"Petang tadi, Allahyarham mengadu sakit di bahagian belakang badan dihantar ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang yang kemudiannya dihantar ke Hospital Pasir Mas," katanya ketika dihubungi di rumah Allahyarham di Rantau Panjang.

Allahyarham Abdul Rahman yang juga bekas timbalan ketua Umno bahagian Rantau Panjang, menjadi ADUN Gual Periok selama satu penggal dari 1986 hingga 1990.

Fauziah yang juga Ketua Wanita Umno bahagian Rantau Panjang berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang pagi esok. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 11:37 PM