Oleh Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Dua mangsa lemas ditemui membabitkan seorang lelaki warga emas dan remaja perempuan di dua lokasi berbeza di daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kes pertama membabitkan Mustapa Nawang, 65, yang ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di Kampung Batu Lapan, Gual Periok, Rantau Panjang, jam 8.45 pagi tadi.

Katanya, mangsa dilaporkan keluar rumah petang semalam dan tidak pulang menyebabkan anaknya bersama beberapa rakan keluar mencarinya.

Mereka kemudiannya menemui perahu mangsa dalam keadaan terbalik di kawasan sawah yang dinaiki air banjir.

"Mereka terus mencari mangsa sebelum menemuinya dalam keadaan tertiarap di belakang sebuah rumah berhampiran lokasi perahunya terbalik.

"Mayat dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat selain disahkan negatif Covid-19. Punca kematian masih disiasat," katanya pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Kotak Rezeki Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi (G20 Goldwing Malaysia) bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini.

Muhamad Zaki berkata, kes kedua membabitkan Siti Alia Nasuha Mohd Rosli, 13, yang ditemui lemas di Sungai Pengkalan Teluk, Rantau Panjang di sini, jam 2.30 petang tadi.

"Mangsa dilaporkan ke sungai berkenaan bersama bapanya, Mohd Rosli Abdullah, 40, dan adik lelaki, Mohd Akid Akmal, 11, yang juga hampir lemas tetapi sempat diselamatkan bapanya.

"Jasadnya ditemui anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas kira-kira 40 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat. Mayat dibawa ke HPM untuk proses selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 6:19 PM
Orang ramai memenuhi pinggir Sungai Kampung Pengkalan Teluk, Gual Periok, ketika operasi mencari remaja perempuan lemas. FOTO IHSAN JBPM Pasir Mas
Orang ramai memenuhi pinggir Sungai Kampung Pengkalan Teluk, Gual Periok, ketika operasi mencari remaja perempuan lemas. FOTO IHSAN JBPM Pasir Mas