Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Bekas Editor Sarawak Report, Lester Melanyi, mendakwa menerima arahan daripada pengendali web Sarawak Report untuk membantunya menjatuhkan reputasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pengakuan itu dibuat Lester melalui video berdurasi tiga minit 48 saat, Eksklusif: Pendedahan Kerja Pemalsuan Dokumen 1MDB oleh Sarawak Report (part (Bahagian 1) yang dimuat naik di Youtube.

Dalam video itu, Lester mendakwa dia mengetahui mengenai rancangan 1MDB pengandali laman web itu pada Januari lalu.

"Dia bagi tahu saya yang kami ada misi penting untuk Anwar Ibrahim dan saya perlu lakukannya.

"Menurutnya, ia perlu dilakukan mengikut apa yang dimahukan oleh pimpinan pembangkang. Mereka kata saya perlu dapatkan beberapa bahan dari London yang sudah dibuat.

"Namun, saya bagi maklumkan yang tidak mahu turut serta dalam rancangan itu, walaupun saya sayangkan Anwar," katanya.

Dalam video itu juga, Lester menerangkan mengenai tugasnya mengumpul maklumat dan menulis untuk Sarawak Report.

Lester berkata, dia turut memberikan nombor telefon individu yang boleh dihubungi untuk Radio Free Sarawak.

Katanya, dia berkomunikasi dengan pengendali laman web itumenerusi email dan berbincang isu penting menerusi telefon.

"Sebelum ini Sarawak Report fokus kepada mantan Ketua Menteri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud tetapi kini bertukar kepada Najib.

"Sarawak Report dan Radio Free Sarawak dibiayai Yayasan Bruno Manser, " katanya.

Dalam perkembangan berasingan dalam lestermelanyi.blogspot.com, Lester mendakwa dia menerima bayaran RM2,975 (STG500) seminggu bagi memalsukan pelbagai dokumen termasuk mengaitkannya dengan isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Lester yang juga bekas Pengarang Berita Sarawak Tribune, mendakwa bayaran itu diterimanya daripada pengendali laman web itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 8:11 PM