Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Petaling Jaya: Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao Krishnan akan mengadakan sidang media bersama bekas pengarang Sarawak Tribune, Lester Melanyi secepat mungkin bagi menjelaskan isu pemalsuan laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Ramesh, sidang media secara bersama itu penting bagi menjelaskan tuduhan yang dilemparkan pengendali portal berita Sarawak Report, Clare Brown kepada kerajaan berhubung isu berkenaan.

Kata beliau, semua maklumat yang didedahkan Melanyi dalam dua siri video pengakuannya sebelum ini bukannya mengikut skrip sesiapa sebaliknya atas pengakuannya sendiri.

Beliau berkata, pada sidang media itu nanti, pihaknya juga merancang untuk menyiarkan bahagian ketiga siri video pengakuan Melanyi selepas dua siri sudah disiarkan sebelum ini.

“Ia (video) memaparkan suasana Clare dan Melanyi sewaktu bekerja bersama sekali gus membuktikan bahawa mereka berdua sememangnya mempunyai hubungan rapat.

“Jadi, tidak timbul isu Melanyi dijadikan kambing hitam oleh sesiapa kerana semuanya atas kerelaannya sendiri yang mahu memperbetulkan keadaan,” katanya pada sidang media, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Julai 2015 @ 6:47 AM