KETUA gerila pemisah, Igor Girkin. FOTO The Telegraph
KETUA gerila pemisah, Igor Girkin. FOTO The Telegraph

PEMIMPIN gerila pemisah di timur Ukraine, Igor Girkin, secara rasmi dituduh semalam, mendalangi menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH17, pada Julai tahun lalu.

Satu writ difailkan di Chicago, Amerika Syarikat, mendakwa Girkin bertindak dengan restu Russia ketika anggotanya menembak jatuh pesawat Boeing 777 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Kes ini dikemukakan bagi pihak keluarga 18 penumpang pesawat itu, termasuk enam rakyat Britain. Mereka menuntut AS$900 juta (R3.4 bilion).

Semua 298 orang termasuk anak kapal dalam pesawat itu terbunuh selepas ia terhempas dan berkecai akibat tembakan peluru berpandu di timur Ukraine.

Pada hari Boeing 777 itu ditembak, satu kenyataan menggunakan nama Igor Girkin mendakwa anggotanya menembak jatuh pesawat pengangkut tentera Ukraine di kawasan itu.

Dalam kenyataan di rangkaian sosial Russia, VKontakte, dia dilaporkan mendakwa pesawat itu ialah Antonov-26.

Namun kenyataan itu dipadam segera diganti dengan video menunjukkan kepulan asap bersama kata-kata: "Kami sudah memberi amaran kepada mereka supaya tidak terbang di langit kami."

The Telegraph melaporkan dalam writ saman itu yang difailkan di Chicago, mendakwa Girkin mendapat restu kerajaan Russia untuk menembak MH17 dan "mengarah, dibantu dan / atau bersubahat dengan tindakan ini dan / atau bersekongkol dengan orang-orang yang melepaskan tembakan peluru berpandu".

Peguam yang mengendalikan kes itu, Floyd Wisner, berkata ia "bukan mengenai wang" tetapi berusaha mendapatkan jawapan daripada Girkin dan memberi tekanan kepada Rusia bekerjasama dengan siasatan antarabangsa.

Dikenali dengan nama gerila sebagai Strelkov yang bermaksud "penembak", Girkin adalah warganegara Russia dengan latar belakang ketenteraan termasuk pernah berkhidmat di Chechnya dan Serbia. - The Independent

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:18 PM