SEORANG waris mangsa MH17 (tengah) hadir pada perbicaraan kes itu. FOTO EPA
SEORANG waris mangsa MH17 (tengah) hadir pada perbicaraan kes itu. FOTO EPA
AFP

The Hague: Waris mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai 2014 mula memberi keterangan kepada mahkamah, semalam.

Mereka memberi keterangan dalam perbicaraan empat suspek di Belanda yang bertanggungjawab dalam nahas membabitkan pesawat milik Malaysia itu.

Penyiasat antarabangsa berkata, pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu buatan Russia oleh pemberontak pro-Moscow dari timur Ukraine, tetapi Rusia menafikan pembabitannya.

MH17 ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine, menyebabkan semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.

Penumpang lain membabitkan rakyat Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.

Empat suspek iaitu warga Russia, Oleg Pulatov, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko dituduh bertanggungjawab dalam kejadian itu.

Mereka dipercayai menggunakan peluru berpandu jenis BUK milik Briged ke-53 Peluru Berpandu Antipesawat Tentera Russia yang berpangkalan di Kursk, terletak berhampiran sempadan Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 10:31 AM