EMPAT suspek berkenaan. FOTO NSTP
EMPAT suspek berkenaan. FOTO NSTP
Reuters

AMSTERDAM: Empat suspek yang menjadi perancang utama insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014, akan dibicarakan, Isnin ini.

Bagaimanapun, perbicaraan di sini itu mungkin dijalankan tanpa kehadiran tertuduh (in absentia).

Pada 19 Jun tahun lalu, Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT), mengeluarkan waran tangkap ke atas tiga suspek warga Russia dan seorang warga Ukraine.

Mereka adalah bekas Kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia (FSB) Igor Girkin; bekas pegawai Agensi Perisikan Tentera Russia (GRU) Sergey Dubinskiy; bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU Oleg Pulatov; dan Leonid Kharchenko dari Ukraine.

Menurut Pendakwa Raya Belanda, Fred Westerbeke, mereka adalah empat suspek yang dipertanggungjawabkan membawa senjata, BUK Telar ke timur Ukraine.

Pada Mei 2018, JIT mendapati peluru berpandu anti pesawat BUK yang menembak jatuh pesawat Boeing 777 itu berasal dari briged tentera Russia ke-53 yang berpangkalan di bandar Kurk, barat daya Russia.

Media sebelum ini melaporkan MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh angkara roket buatan Russia milik pemberontak pro-Moscow.

Semua 298 penumpang serta anak kapalnya terkorban.


Berita berkaitan:

  • Fakta penting bicara MH17
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 1:09 PM