Gwangju: Trio memanah negara berharap dapat menyesuaikan diri secepat mungkin dengan keadaan angin di Gwangju, Korea Selatan.

Fatin Nurfatehah Mat Saleh, Saritha Cham Nong dan Norhayati Al Maidihah Hashim antara taruhan utama kontinjen negara untuk menamatkan kemarau pingat emas di Sukan Universiti Dunia (Universiade).

“Kami sudah menjalani latihan hari ini (semalam), keadaan agak berangin namun ia adalah konsisten (satu arah). Cuaca dan suhu tidak sebarang masalah, cukup baik.

“Kami perlu memanfaatkan masa yang ada (hari ini dan esok) bagi menyesuaikan diri. Bagaimanapun kami masih belum berkesempatan menjalani latihan di gelanggang pertandingan sebenar, kami berharap angin tidak seperti di padang latihan,” kata Fatin Nurfatehah.

Jelas Fatin Nurfatehah, mereka tidak boleh terlalu yakin kerana peluang untuk menang adalah seimbang dengan bergantung kepada prestasi semasa hari pertandingan.

Skuad memanah negara akan memulakan saingan pada Jumaat di Pusat Memanah Antarabangsa Gwangju.

Trio compound negara berkenaan pernah bergandingan untuk memenangi emas di Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Palembang tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 8:05 AM