Oleh Aziman Rosdi


Kelana Jaya: Ketika nasib barisan kejurulatihan belum lagi diputuskan, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (gambar) pula seperti sudah bertekad untuk bertanggungjawab sepenuhnya jika skuad Harimau Malaya gagal layak ke pusingan Piala Asia 2019 dengan melepaskan jawatan yang disandangnya itu.

Ketegasan Tengku Abdullah itu dibuat dalam ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM kali kelima bagi sesi 2014-2018 semalam.

Beliau pada mulanya dijadualkan hadir untuk mempengerusikan mesyuarat itu namun terpaksa membatalkannya kerana mempunyai tugasan bersama Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Bahrain.

“Tuanku presiden (Tengku Abdullah) menyuarakan rasa kecewa dengan prestasi skuad kebangsaan. Beliau sedia untuk meletakkan jawatan jika skuad kebangsaan gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019,” kata Hamidin yang mengesahkan mengenai pendirian Tengku Abdullah itu.

Tengku Abdullah memegang tampuk kepimpinan FAM apabila memenangi pemilihan pada Kongres ke-50 Mei tahun lalu selepas ayahandanya Sultan Ahmad Shah mengambil keputusan menarik diri daripada bertanding.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:33 AM