PESERTA bergambar kenangan sebelum kayuhan.
PESERTA bergambar kenangan sebelum kayuhan.
DUA peserta melayani dan memberi makan kepada penghuni yang sakit dan tidak berkeupayaan.
DUA peserta melayani dan memberi makan kepada penghuni yang sakit dan tidak berkeupayaan.
GELAGAT peserta yang mengambil makanan untuk dihidangkan kepada penghuni.
GELAGAT peserta yang mengambil makanan untuk dihidangkan kepada penghuni.
PESERTA bergambar kenangan bersama Mohd Azmi dan wakil IPD Kajang.
PESERTA bergambar kenangan bersama Mohd Azmi dan wakil IPD Kajang.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob


Hujan lebat tidak mematahkan semangat 48 pengayuh untuk bersahur bersama 75 warga emas di Pusat Jagaan Al-Fikrah, Kampung Sungai Sikamat, Kajang dalam program Kayuhan Singgah Sahur yang diadakan baru-baru ini.

Berbekalkan wang sumbangan dan kutipan daripada peserta yang juga peminat aktiviti berbasikal, misi mereka hanya dua iaitu melepaskan ‘ketagihan’ berkayuh pada bulan puasa dan membantu meringankan beban insan kurang bernasib baik.

Seawal jam 2.30 pagi peserta mula berkumpul di kawasan permulaan kayuhan di Sungai Kantan. Namun, hanya pada jam 3.45 pagi barulah kayuhan dapat dimulakan apabila hujan reda dan berhenti.

Ternyata, air hujan serta kesejukan bukan masalah bagi peserta apabila tetap ceria berkayuh sejauh 15 kilometer demi menjayakan misi amal berkenaan.

Malah, peserta yang tiba di lokasi Pusat Jagaan Al-Fikrah disambut oleh pengerusi pusat berkenaan Mohd Azmi Mohd Zain serta penghuninya.

Mohd Azmi yang ditemui mengakui kali pertama menerima kunjungan dalam program singgah sahur sejak pusat berkenaan ditubuhkan tiga tahun lalu.

Katanya, sebagai pusat jagaan bukan milik kerajaan, pihaknya sangat berbesar hati menerima kunjungan daripada wakil kelab basikal yang turut sama-sama menghulurkan sumbangan bara­ngan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan gula.

“Ini kali pertama kami menerima kunjungan sebegini dan saya serta penghuni lain sangat gembira dan berbesar hati kerana masih ada yang prihatin dengan nasib kami.

“Sebagai pusat jagaan bukan milik kerajaan, kami memerlukan sumbangan atau bantuan sama ada dalam bentuk makanan mahupun kewangan. Alhamdulillah, hari ini membuktikan peminat sukan berbasikal juga mempunyai hati yang mulia,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Kamal Ngadiron, 38, dari Kelab Basikal G3K mengakui seronok menyertai kayuhan singgah sahur yang dianggap sebagai medium terbaik untuk beramal.

Katanya, rasa seronok itu lebih bermakna apabila melihat penghuni di pusat berkenaan gembira me­nyambut kedatangan mereka.

“Ini kali pertama saya ikut program kayuhan begini dan sejujurnya, bermacam-macam perasaan timbul. Ada rasa teruja, gembira, sayu dan paling utama insaf akan nasib insan yang memerlukan bantuan dan pembelaan,” katanya.

Menurut Ahmad Kamal, program seumpama ini juga baik untuk remaja serta kanak-kanak kerana pendedahan sebegini mengajar mereka erti kebajikan dan menghargai ibu bapa serta golongan lebih berusia.

Peserta, Mohamad Zamir Hashim, 47, yang mewakili Kelab Berbasikal GSA berkata, hasratnya untuk menyertai program seumpama itu tertunai dan membuktikan bahawa dengan sukan juga mereka mampu beramal dan membantu insan yang kurang bernasib baik.

“Saya memang sudah lama berhasrat menyertai kayuhan amal ini yang berkonsepkan singgah sahur.

“Bila dapat peluang ini, saya rasa syukur kerana ia tercapai dan paling utama, gembira apabila dapat bersama pesakit di Pusat Jagaan Al-Fikrah.

“Mereka perlukan perhatian daripada golongan muda serta yang masih sihat. Jadi cara ini, dapat membantu mengurangkan tekanan mereka yang kebanyakan sudah berusia dan sakit,” katanya.

Peserta wanita, Non Tasbihaton Marhaban, 35, dari kelab Pinky Women Riders turut mengakui pengalaman mengikuti kayuhan berkenaan mengajarnya erti syukur dan menghargai insan tersayang.

“Semua penghuni di sini sudah berusia dan pangkat seperti emak dan ayah saya sendiri. Bila melihat mereka, saya teringat pada arwah ayah dan ibu.

“Sejujurnya, ia mengajar saya makna bersyukur dan menghargai orang tua yang masih hidup. Malah, detik paling seronok apabila melihat penghuni di sini gembira serta ceria. Kerana perasaan gembira dan ceria ini mampu menjadi ubat paling mujarab untuk sesiapa saja,” katanya.

Peserta wanita, Yong Adila, 35, yang mewakili kelab Saujana Putra Riders sungguh gembira kerana dapat sama-sama turut serta dalam kayuhan amal berkenaan yang berbeza dengan kayuhan amal lain.

Katanya, kelainan bukan saja terletak pada suasana kayuhan pada waktu Subuh sebaliknya kerana ia membolehkan peserta beramah mesra bersama pesakit di pusat jagaan berkenaan.

“Saya tahu kayuhan ini pun hanya daripada kawan. Biarpun dibuat secara suka sama suka antara kelab basikal tapi ternyata ia boleh berjaya dan misi serta matlamat kayuhan ini tercapai.

“Saya rasa, ini pendekatan terbaik kerana pesakit ini bukan sekadar memerlukan bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya memerlukan perhatian masyarakat,” katanya.

Satu-satunya peserta bukan Islam, Lu Chin John, 38, turut mengakui seronok apabila merasai pengalaman bersahur bersama penghuni pusat berkenaan dan merasai kepayahan dialami mereka.

“Saya tak tahu bagaimana situasi orang Islam bersahur dan bila dapat merasai pengalaman sebegini, memang seronok kerana ia meriah walaupun secara sederhana.

“Bagi saya, ia mengajar kita erti bersyukur dengan apa yang kita ada dan menghargai orang yang kita sayangi. Jika ada lagi, saya akan cuba ikut serta kerana sudah lama saya ingin merasa pe­ngalaman unik ini iaitu berkayuh dan beramal dalam suasana bersahur,” katanya.

Dalam program berkenaan, pelbagai barangan keperluan seperti, beras, gula, minyak masak, lampin pakai buang dan makanan bernilai RM4,000 turut disumbangkan.

Kayuhan berkenaan turut mendapat kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Kumpulan Litrak, Yz Gym dan GSA Event Management yang turut memberi sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:01 AM