SCRAMBLER Ducati Icon.
SCRAMBLER Ducati Icon.
Oleh Erywan Norshal


Selepas hampir sembilan bulan ia dipertontonkan secara umum kepada masyarakat tempatan, barulah Scrambler Ducati dilancarkan secara rasmi di negara ini.

Harga ditawarkan Next Bike Sdn Bhd (Ducati Malaysia) selaku pengedar rasmi jenama Ducati di Malaysia boleh dianggap berbaloi bagi model yang sangat ikonik.

Sebenarnya jentera ini dijelmakan semula sejak diperkenalkan 1970 yang mana masih mengekalkan imej retro, tetapi menerima sentuhan teknologi terbaru.

Kehadirannya membangkitkan zaman kegemilangan jentera itu pada waktu berkenaan dengan mengekalkan keaslian reka bentuknya serta menambah ciri moden untuk menghangatkan lagi keunikannya.

Jika mahu dibandingkan dengan model terdahulu, ia menggunakan enjin 250 cc silinder tunggal dan masa kini dilengkapi rangkaian kuasa L-Twin 800 cc yang mampu menyalurkan 75 kuasa kuda (hp).

Biarpun dilengkapi ciri moden, jentera berkenaan masih mengekalkan reka bentuk asal, terutama pada bahagian tangki petrol, untuk memberi tampak asli seperti model keluaran 1970.

Namun ia dilengkapi ciri moden membabitkan dua saluran Sistem Antikunci Brek, lampu LED dan port USB yang berada di bawah tempat duduk.

Walaupun menggunakan enjin sama, ia mempunyai empat watak berbeza menerusi varian Icon, Classic, Urban Enduro dan Full Throttle.

Bagi varian Icon, ia sebuah jentera dua roda yang selesa ditunggang dengan ditawarkan dua warna iaitu merah dan kuning, manakala Urban Enduro menerapkan konsep motosikal bandar apabila tampak lebih tangkas.

Sementara itu, varian Fuel Throttle diilhamkan daripada motosikal perlumbaan yang turut dilengkapi ekzos Termignoni dan Classis pula dicipta dengan gaya 1970-an.

Bagi varian Urban Enduro, Full Throttle dan Classic, ia dijual pada RM64,888, manakala RM57,333 untuk Icon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:01 AM