AZEEM menjalani sesi latihan sebelum menghadapi Terbuka Malaysia. -FOTO Asrol Awang
AZEEM menjalani sesi latihan sebelum menghadapi Terbuka Malaysia. -FOTO Asrol Awang
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi yakin dia mampu untuk melayakkan diri ke temasya Olimpik Paris Julai ini.

Biarpun untuk memburu masa catatan 10 saat (s) tampak sukar namun pelari berusia 20 tahun itu mempunyai pilihan kedua iaitu layak secara merit menerusi kedudukan ranking.

Azeem yang ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam selepas menempuh perjalanan lebih dari 48 jam dari Amerika Syarikat berkata, apa yang penting ketika ini adalah untuk muncul juara di Terbuka Malaysia dengan catatan 10.25s ke bawah.

Katanya, catatan itu sudah cukup untuk membawa dia kembali berada dalam kelompok 56 pelumba terbaik yang akan layak ke Paris secara merit menerusi kedudukan ranking.

"Saya dan pasukan MSN (Majlis Sukan Negara) sudah membuat perkiraan bahawa saya masih boleh layak ke Paris dengan ranking.

"Untuk ke Paris, saya perlu menang di Terbuka Malaysia dengan masa di bawah 10.25s. Catatan itu akan membawa saya kembali dalam kelompok 56 terbaik sebab ketika ini ranking saya sudah terkeluar dari kedudukan itu iaitu berada di ranking ke-64," katanya.

Justeru jika menang dan mencatat masa 10.25s atau lebih pantas di Kuantan, kedudukan ranking dunianya akan melonjak ke kedudukan ke-45, sekali gus berada dalam kelompok 56 terbaik.

Kata, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09s itu, dia akan berdepan jadual yang padat selepas ini dan akan menyertai Terbuka Kazakhstan sebelum menyertai kontinjen Universiti Malaysia ke Sukan Universiti Asean (AUG) di Surabaya, Indonesia.

Terbuka Kazakhstan antara penyertaan yang berada dalam perancangannya untuk mengukuhkan kedudukan mata ranking.

"Kita tak nak selesa jika berjaya di Terbuka Malaysia. KOM dan MSN berasakan lebih elok untuk saya ke Kazakhstan untuk memungut mata tambahan.

"Jika boleh tingkatkan catatan masa, ranking dunia saya akan naik dan lebih selamat untuk saya layak," kata Azeem.

Minggu lalu, Azeem melakukan larian pantas ketika membantu kuartet 4x100m Universiti Auburn merakam catatan 38.03s, iaitu masa kelima terpantas acara dunia tahun ini, di belakang Kanada di kedudukan keempat (37.89s), Itali di kedudukan ketiga (37.82s), Gainesville Elite (37.67s) dan kuartet Amerika Syarikat (37.40s) di kedudukan pertama.

Untuk rekod, tiga rakan sepelatih Azeem di Universiti Auburn sudah layak ke Paris dan Azeem akan menyertai tiga pelari terbabit menjalani latihan pusat di Eropah, selepas aksi di AUG.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 9:19 PM