DUCATI Panigale V4 R 2019.
DUCATI Panigale V4 R 2019.
Lizam Ridzuan


SEBAGAI model jalanan dengan teknologi perlumbaan yang sebenar, Ducati Panigale V4 R menawarkan kepuasan menunggang jentera dua roda sebenar.

Jika dibandingkan dengan model terdahulu, ia kini lebih khusus dengan modifikasi dilakukan pada enjin dan suspensi serta rekaan ‘Aero Pack’ untuk meningkatkan ciri aerodinamik.

Reka bentuknya pasti memukau ‘kaki motor’

yang mana ia menampilkan gaya spesifikasi ‘Ducati Corse’ termasuk skrin, fairing hadapan dan sisi bagi mengurangkan ‘drag’ angin.

Ia juga dilengkapi lubang udara berbentuk khas bagi suhu lebih ideal memasuki ruang enjin yang digunakan ketika perlumbaan.

Sayap gentian karbon daripada GP16 bagi kestabilan tunggangan sepanjang masa juga membantu mengurangkan kawalan elektronik serta menambah keyakinan penunggang untuk memulas pendikit lebih lama serta lewat membrek ketika selekoh.

V4 R dijana dengan enjin 998 cc Desmosedici Stradale R untuk kuasa maksimum. Ia disalurkan dengan komponen dalaman lebih ringan serta kemasukan udara yang lebih efisien.

Ia menjana kuasa kuda 221 hp pada 15,250 rpm dengan klac kering STM EVO-SBK untuk lebih ‘feel’ ketika melayan selekoh membolehkan darjah mekanikal membrek pada enjin dirasakan.

Sistem suspensi dimaksimumkan sepenuhnya bagi sedia digunakan di litar terutama ‘damper’ pengendalian dan suspensi daripada Ohlins dipasang pada komponen top-drawer boleh laras.

Ini termasuk ‘fork’ hadapan Ohlins NPX 25/30 serta bahagian belakang penyerap hentakan TTX36 larasan manual bagi melengkapi pakej prestasi.

Sistem brek Brembo adalah standard untuk model prestasi dengan angkup monobloc dipadankan dengan roda aluminium Marchesini hitam dan tayar Pirelli Diablo Supercorsa SP.

Untuk paparan meter dengan skrin TFT penuh bersaiz lima inci menawarkan tiga mod tunggangan iaitu Race, Sport dan Street. Serta bagi ‘sah’ kegunaan jalanan, ia dilengkapi lampu hadapan LED penuh dengan lampu nyalaan siang (DRL).

Dilancarkan baru-baru ini oleh Next Bike sebagai pengedar sah Ducati di negara ini, selain V4 R, turut diperkenalkan Diavel 1260 S, Hypermotard 950, Multistrada 950 S, Multistrada 1260 Enduro dan rangkaian model Scrambler terdiri daripada Icon Serba Baharu, Full Throttle, Desert Sled dan CafÈ Racer.

Untuk V4 R, ia dijual pada harga RM299,900 (atas jalan tanpa insurans) dengan dua tahun jaminan atau 30,000 kilometer yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Julai 2019 @ 11:08 AM