Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Mayat lelaki bertatu naga dan bunga di lengan ditemui dalam keadaan tanpa kepala oleh orang ramai di dalam longkang di Jalan Sungai Kandis, Seksyen 36, di sini, petang semalam.

Mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui dalam keadaan hampir reput kira-kira 3.30 petang oleh seorang lelaki yang melalui kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mayat lelaki terbabit ditemui di dalam longkang yang terletak lima kilometer dari jalan utama dan dikelilingi belukar.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati mayat terbabit tidak berkepala dan berpakaian dipercayai dibunuh sebelum dibuang di kawasan berkenaan lebih seminggu yang lalu.

"Hasil pemeriksaan lanjut pada tubuh lelaki terbabit menemui tatu naga pada lengan kiri dan tatu bunga pada lengan kanan. Selain itu terdapat luka besar pada leher yang menunjukkan saluran pernafasannya putus.

"Mangsa dipercayai sudah mati lebih dari seminggu di mana tapak tangan kiri rebut dan hilang manakala tapak tangan kanan dan jari reput dan tidak berkulit," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang mendapati lelaki terbabit mati akibat dipenggal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 10:14 PM