LAPORAN Harian Metro hari ini
LAPORAN Harian Metro hari ini
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Hasil bedah siasat terhadap mayat reput yang ditemukan di lokasi kejadian sebuah kenderaan terbabas ke dalam longkang berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun di sini pagi tadi menunjukkan punca kematian adalah akibat dicekik.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ia hasil keputusan selepas bedah siasat di jalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 7 petang hari ini.

"Sehubungan itu diklasifikasikan semula kepada bunuh dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis sedang menyiasat kes ini dari pelbagai sudut di mana siasatan identiti mangsa dipercayai seorang perempuan berusia 23 tahun berdasarkan lambang tatu di lengan dan jari tangan, manakala telefon bimbit yang dijumpai di tempat kejadian juga disahkan milik mangsa," katanya.

Katanya, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 012-6195312 untuk membantu siasatan.

Media sebelum ini melaporkan, siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan ketara pada tubuh badan mayat reput berkenaan.

Terdahulu hari ini media melaporkan, Polis menemukan satu mayat reput di lokasi kejadian sebuah kenderaan yang terbabas ke dalam longkang berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun di sini pagi tadi.

Mayat wanita yang dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu itu ditemukan kira-kira tiga meter dari kereta Proton Saga Aeroback yang terbabas ke dalam longkang berdekatan.

Berita berkaitan:

  • Tiada unsur jenayah pada mayat reput [METROTV]
  • Jumpa mayat reput di lokasi kereta terbabas elak 'kelibat' melintas [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 10:48 PM