ANGGOTA polis memeriksa mayat lelaki dipercayai warga asing yang ditemui di tepi sungai Perai, Seberang Jaya, petang semalam. FOTO ihsan polis.
ANGGOTA polis memeriksa mayat lelaki dipercayai warga asing yang ditemui di tepi sungai Perai, Seberang Jaya, petang semalam. FOTO ihsan polis.
Hadzlihady Hassan


MAYAT seorang lelaki warga asing ditemui dengan lastik serta batu masih berada dalam poket seluarnya di tepi kawasan Sungai Perai, Seberang Jaya, petang semalam.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mayat mempunyai tatu bercorak bunga di lengan kiri itu ditemui nelayan yang kemudian menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan mendapati mangsa adalah warga asing kerana tiada suntikan BCG (Bacillus Calmette Guerin) ditemui.

Beliau berkata, mayat terbabit ditemui dalam keadaan tertiarap dan berseluar pendek hitam serta mengalami luka di dada dipercayai akibat dimakan binatang buas.

“Mayat mempunyai tatu di lengan kiri dan kami turut menemui lastik bersama batu di poket seluarnya dan mangsa dipercayai memburu binatang di kawasan terbabit.

“Pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 3:51 PM