NORLIZA menyampaikan hadiah Johan Festival Teater Malaysia 2014 kepada Persatuan Seni Persembahan Sifar Kuching, Sarawak.
NORLIZA menyampaikan hadiah Johan Festival Teater Malaysia 2014 kepada Persatuan Seni Persembahan Sifar Kuching, Sarawak.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman .
[email protected].

Kembalinya sang juara. Itulah perkataan sesuai diungkapkan buat Persatuan Seni Persembahan Sifar Kuching, Sarawak (SIFAR) yang dinobatkan sebagai juara Festival Teater Malaysia 2014 (FTM 2014) yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabtu lalu.

Bekas juara Festival Teater Malaysia 2008 menerusi teater Tukang Ensera karya Awangku Merali Pangeran Mohamed ini sekali lagi membuktikan kejaguhan mereka mengharumkan nama Sarawak apabila memenangi empat kategori utama yang dipertandingkan

Naskhah Penggali Intan karya Kirdjomulyo arahan Abdillah Untong merang­kul gelaran Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Malek Hassan), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Haslina Mohd Hasbi) dan Juara FTM 2014 yang membawa pulang Piala Pusingan dan Piala Iringan.

Tempat kedua FTM 2014 yang berlangsung pada 26 Oktober hingga 1 November dimenangi oleh Grup Teater Lab, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mementaskan teater berjudul Vito Il Mafioso karya Khairul Amin, arahan Tasia Alina Ismail.

Mereka pernah memenangi gelaran Pelakon Harapan Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada FTM 2012.

Tempat ketiga pula dimenangi Kelab Teater Rimba, Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi teater Alahai Menantu!! karya Razali Taib, arahan Nuex Rosli yang mewakili negeri Selangor.

Mereka turut mengungguli kategori Pelakon Wanita Terbaik yang dimenangi oleh Yuhana Mohd Yusof mengulangi kejayaan serupa pada FTM 1993 menerusi naskhah teater Abyss.

FTM 2014 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menampilkan enam kumpulan yang berjaya ke pentas akhir iaitu Kelab Teater Rimba UKM mewakili Selangor, Persatuan Penggerak Seni Budaya (Kuala Lumpur), Kumpulan Teater Remaja

Harapan (Kedah), Grup Teater Lab, UMS (Sabah), Persatuan Seni Persembahan Sifar (Sarawak) dan Anak Seni Pendidikan (Kelantan).

Abdillah yang ditemui menyifatkan persaingan diterima daripada peserta lain begitu sengit dan tidak menyangka kemenangan berpihak kepada mereka.

"Kumpulan yang bertanding semuanya hebat dan kami sendiri seakan tak percaya mampu bawa pulang beberapa hadiah utama. Kami berdepan kekangan dana untuk aktif dalam teater kerana kebanyakan orang berpengaruh di Sarawak lebih suka menaja perkembangan sukan bagi mendekati masyarakat berbanding teater.

"Bagaimanapun, kami beruntung kerana mendapat sokongan penaung Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof. Dengan kejayaan ini, diharapkan semua pihak bersama menyemarakkan seni persembahan teater kerana Sarawak banyak melahirkan pelakon yang hebat," katanya yang bertugas di Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak.

Haslina pula gembira kerana meraih kemenangan pertama dalam FTM. Dia yang juga isteri Abdillah, sudah beberapa kali menang anugerah dalam pertandingan teater peringkat negeri Sarawak.

"Akhirnya kemenangan berpihak kepada saya. Semua orang ada keinginan untuk menang dan saya bersyukur kerana berjaya meraihnya. Dahulu saya seorang guru di sekolah seni di Kuching dan melepaskan jawatan kerana menumpukan perhatian kepada perkembangan teater.

"Kini saya mengajar secara sambilan di sekolah di sana. Saya memang minat teater dan sekarang wariskan pada anak iaitu Hardiani Izzati, 16, dan Aideil Ikhwani, 13, pula sebagai pelapis," katanya.

Kejayaan yang dikecapi Yuhana agak manis kerana pengajar di Universiti Nottingham Malaysia, Semenyih ini sudah lama tidak aktif dalam teater.

"Saya antara pengasas Kelab Teater Rimba pada 1992 dan selepas itu berjaya menang gelaran pada FTM 1993. Namun, saya berehat selama 10 tahun apabila berhijrah ke Sabah.

"Kini saya kembali aktif dalam KTR selain mencari pelapis baru untuk teater. Kalau dikirakan jarak saya berehat memang lama. Justeru saya gembira apabila berjaya masuk dalam FTM tahun ini kerana bukan mudah nak menyertainya.

"Dalam teater, kita harus buat orang percayakan karakter dan bukan diri kita yang sebenar. Tak dinafikan kami berdepan dilema untuk buat Alahai Menantu kerana ia genre komedi.

"Apabila berbincang, kami sepakat nak buat juga kerana berfikir yang penting ialah lakonan. Kami yakin dalam cerita ini ada sesuatu. Ia komedi tapi menyampaikan satu isu yang berat," katanya.

Teknik menarik yang ditampilkan belum cukup membantu UMS muncul juara. Bagaimanapun, pengarahnya Tasia Aliana tetap gembira dengan kejayaan yang diraih.

"Secara jujur saya tak meletakkan kemenangan sebagai matlamat utama. Apa yang dibuat ialah cuba menampilkan kelainan dalam persembahan kami. Menduduki tempat kedua pun sudah cukup menjadi bonus buat kami," katanya.

Pengurus Pentas teater Vito Il Mafioso, Zaki Mat Rashid yang dipilih sebagai pemenang Sinografi Terbaik FTM 2014 turut melahirkan perasaan bangga kerana sekali lagi berjaya mengharumkan nama UMS.

"Kami dapat menyerlahkan idea yang dikehendaki dalam semua aspek seperti solekan dan pakaian. Kemenangan yang diraih secara kerja berpasukan ini lebih penting dari kemenangan individu," katanya.

FTM 2014 diadili barisan juri profesional terdiri daripada Mior Hashim Manap, Christopher Ling dan Rosnan Nordin.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli dan Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Mesran Yusof. Turut hadir memeriahkan majlis dan menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah pelakon teater Raja Azrey Raja Kamaruzaman, Datuk Jalaluddin Hassan, Hairi Safwan dan Nas Adilla.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 November 2014 @ 5:01 AM