FASYALI ( dua dari kiri ) bersama pelakon Antalogi Ic.
FASYALI ( dua dari kiri ) bersama pelakon Antalogi Ic.

Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) terus rancak menampilkan persembahan teater sebagai subjek pembelajaran buat pelajarnya.

Terbaru, peminat teater akan disajikan dengan pementasan Antologi IC mengandungi dua karya terkini Fasyali Fadzly berjudul Barah dan Tengku Infariyah Awang.

Dua persembahan ini akan dipentaskan menerusi slot Emotif Fakulti Teater yang dijayakan barisan pensyarah dan dibantu pelajar.

Ia akan berlangsung malam ini dan esok (19 November) pada jam 8.30 malam manakala 20 November jam 3 petang di Panggung Eksperimen ASWARA.

Fasyali yang juga pensyarah teater ASWARA berkata, Emotif adalah gabungan generasi baru dan lama serta kerjasama antara pensyarah serta pelajar Fakulti Teater ASWARA.

“Ia bertujuan merangsang pertumbuhan intelektual dan ilmu teater melalui pembinaan naskhah berdasarkan idea baharu, adaptasi, terjemahan dan olahan.

“Projek teater ini sudah dilaksanakan sejak 2009 hingga 2014,” katanya.

Menurutnya bermula pada 2009, idea dikemukakan dengan persembahan drama sebabak terdiri daripada 5 Karyawan Muda (Teater Kecil).

“Pada 2010 barulah ia dikenali sebagai Projek Teater Emotif dengan menampilkan enam kumpulan produksi kecil terdiri daripada pengarah, penulis dan pelakon bagi setiap kumpulan.

“Pada 2014 ia dinamakan Teater Emotif Vol II dengan mengekalkan format yang sama.

“Teater Emotif Vol III: Paksi 2016 kali ini akan menampilkan gabungan pensyarah dan pelajar ASWARA dengan hanya satu kumpulan sahaja.

“Paksi bermaksud satu pembikinan produksi yang diterajui satu pasukan, satu suara, satu idea, satu hati, satu arah dan satu tujuan,” terangnya.

Antalogi IC yang dipersembahkan menerusi slot Emotif adalah hasil kerjasama ahli Fakulti Teater.

Kedua-dua karya ini cuba mengangkat tema identiti melalui perspektif dan persoalan berbeza.

“Karya ini cuba memapar dan mencerminkan identiti masyarakat Malaysia secara tersurat dan tersirat.

“Setiap naskhah berdurasi 30 minit dan dibarisi pensyarah Fakulti Teater.

“Melalui Antalogi IC juga, sesi latihan dibantu dua pensyarah jemputan dari Amerika Syarikat iaitu Jim O’Connor dan Erica Tobolski.

“Pasangan suami isteri ini membantu dari aspek pementasan dan persediaan lakonan dengan pendekatan raptai penuh yang agak baru dan unik bagi pensyarah di Fakulti Teater.

“Walaupun tidak boleh bertutur bahasa Melayu, mereka tetap komited membantu perjalanan pementasan,” kata Fasyali.

Tengku Infariyah Awang adalah skrip terbaru yang ditulis Fasyali Fadzly khas untuk pementasan ini.

Ia mengisahkan usaha Tengku Infariyah yang ingin menukar namanya. Ia dipersembahkan dengan gaya penceritaan yang lebih kontemporari dan segar.

Penulisan yang berbentuk kolaj dan montaj bakal menjadi taruhan bagi memaparkan persoalan kekeliruan dan pembinaan identiti.

Karya yang ditulis dengan nada satira ini juga mempunyai mesej tersirat yang ingin disampaikan kepada rakyat Malaysia.

Barah pula naskhah pertama yang ditulis Fasyali pada 2007 namun belum pernah dipentaskan.

Pelakon yang terbabit dalam pementasan ini adalah Fasyali Fadzly, Iefiz Alauddin, Juhara Ayob, K’ma Abdullah, Shahrul Mizad, Balkis Omar, Jaa Rased dan Rime Nazren.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 11:33 AM