MAT Derih Kola Perlih muncul juara.
MAT Derih Kola Perlih muncul juara.
Ridzuan Abdul Rahman

mohamadridzuan@hmetro. com.my

Mencari yang terbaik daripada enam kumpulan yang mara ke pentas akhir, juri akhirnya sepakat memilih karya Namron iaitu Mat Derih Kola Perlih dari Persatuan Teater Opera Mimpi Negeri Perlis sebagai juara Festival Teater Malaysia 2018 (FTM2018) yang berlangsung di Auditorium Tunku Abdul Rahman, MaTic, Jalan Ampang pada 21 Oktober lalu.

Karya yang diolah semula oleh Siti Jasmina Ibrahim itu tampil berbeza daripada naskhah asal dipentaskan Namron yang lebih menumpukan kepada monodrama dan isu politik.

Jasmina dan pengarahnya, Syafiq Syazim memilih menampilkan seorang lelaki bernama Mat Derih yang berdepan dilema konflik kasih sayang apabila ditinggalkan bapa sejak kecil dan akhirnya membunuh bapanya kerana diperalatkan oleh individu yang dianggap sebagai saudara.

Selain merangkul juara, Mat Derih Kola Perlih juga merangkul gelaran Pengarah Terbaik, Pelakon Harapan Wanita Terbaik, Sinografi Terbaik dan Anugerah Khas Juri.

Tempat kedua menjadi milik Asrama Ra (Senandika, Universiti Malaysia Pahang) yang turut menyaksikan pelakonnya, Najua P Ramlee diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

NAJUA menerima hadiah kemenangannya.
NAJUA menerima hadiah kemenangannya.

Tempat ketiga diraih Dilarang Menyanyi Di Bilik Mandi (Politeknik Nilai Negeri Sembilan) dengan pelakon utamanya Mohd Fazreen Mohd muncul sebagai Pelakon Lelaki Terbaik.

Teater lain yang turut ke pentas akhir ialah Mahkamah Keadilan dari kumpulan Tronoh Theatre Shop Kuala Lumpur, Metamorfosa Kosong (Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching) dan Warga S (Kelab Teater Smart Melaka).

Panel juri untuk FTM2018 diketuai Profesor Dr Mohamad Hatta Azad Khan dan turut dibantu Aminah Rhapor serta Soosan Hoh.

Dr Hatta menjelaskan Mat Derih Kola Perlih dipilih sebagai juara kerana menepati ciri-ciri yang dikehendaki dalam penjurian.

“Susah sebenarnya nak mencari satu produksi yang kemas. Kami melihat seluruh aspek bukan saja naskhah, tetapi juga lakonan, arahan dan penggunaan semua elemen sinografi.

“Mat Derih Kola Perlih amat kemas dari segi garapan, pengarahan dan penggunaan elemen yang disebutkan tadi berbanding yang lain.

“Berkenaan kegagalan pelakonnya Hairi Safwan untuk meraih sebarang anugerah, kami tak melihat pengalamannya di pentas teater atau drama, tapi sebaliknya mengambil kira persembahannya dalam teater ini,” katanya.

FAZREEN (kiri) diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik.
FAZREEN (kiri) diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik.

Pada dasarnya, setiap kumpulan yang bertanding mempunyai kekuatan tersendiri dan perkara ini diakui Ketua Pengarah JKKN Tan Sri Norliza Rofli yang nyata berpuashati dengan mutu persembahan.

“Mereka dipilih oleh juri yang dilantik JKKN bagi menilai persembahan daripada 100 kumpulan teater di seluruh negara.

“Apa yang dinilai adalah kualiti dan terbukti mereka berjaya menampilkan persembahan terbaik pada FTM kali ini,” katanya.

FTM2018 turut menyediakan anugerah khas kepada beberapa tokoh teater iaitu Allahyarham Khalid Salleh, Samad Salleh, Rahimidin Zahari dan Kalam Hamidi.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Oktober 2018 @ 12:05 PM