Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pemain import Pahang Zesh Rehman percaya kemenangan 3-1 ke atas Selangor kelmarin berkat daripada kerjasama dan persefahaman mantap pemain untuk mempertahankan kedudukan Pahang selaku pendahulu Liga Super.

Katanya, kejayaan meraih tiga mata berharga di gelanggang lawan menguatkan lagi azamnya untuk memastikan piala liga menjadi milik skuad Tok Gajah.

“Saya bersyukur gol penyamaan yang dijaringkan pada babak kedua memberi motivasi tinggi kepada kami untuk menambah jaringan sehingga mampu menewaskan Selangor di Stadium Shah Alam.

“Bagi saya kemenangan ini hasil daripada sikap tidak putus asa rakan sepasukan dan pada masa sama mahu memastikan taktha liga kekal milik Pahang,” katanya.

Pada perlawanan kelmarin, skuad Tok Gajah yang ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama bangkit menjaringkan tiga gol pada babak kedua untuk memastikan kemenangan mutlak.

Kebangkitan itu dimulakan menerusi jaringan Rehman pada minit ke-52, diikuti Matias Conti (m-59) dan Mohd Hafiz Kamal (m-70).

Sementara itu jurulatih Zainal Abidin Hassan memuji prestasi anak buahnya yang bangkit daripada ketinggalan untuk mengutip tiga mata berharga.

Katanya, kemenangan ke atas Selangor membuktikan pemain berjaya melakukan kebangkitan dan meneruskan rentak cemerlang di Shah Alam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 10:36 AM