Oleh Asrol Awang


Kuantan: Jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan terkilan dengan sikap anak buahnya yang masih mengulangi kesilapan sama biarpun menang 3-2 ke atas LionsXII di Stadium Darul Makmur, kelmarin.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kesilapan berulang itu membabitkan pemain hilang tumpuan sehingga memberi ruang kepada lawan menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan.

Katanya, pemain wajib memberikan tumpuan 100 peratus sepanjang perlawanan dan bukan bersikap selesa setiap kali mendahului lawan.

“Saya harap pada perlawanan selepas ini pemain tidak mengulangi kesilapan sama sebaliknya meningkatkan kualiti permainan terutama bagi memastikan kemenangan.

“Saya percaya keputusan perlawanan malam ini (kelmarin) juga detik kebangkitan Pahang,” katanya, di sini, semalam.

Pada perlawanan kelmarin, Pahang menang 3-2 ke atas LionsXII dengan mereka bangkit daripada ketinggalan 0-1 untuk menggenggam tiga mata berharga.

Kemenangan itu juga melonjakkan kedudukan skuad Tok Gajah ke tangga ketujuh dengan lapan mata.

Mengulas perlawanan itu, Zainal Abidin berkata, skuadnya bermula baik sebelum LionsXII mendapat gol pendahuluan.

Katanya, namun segala-galanya berubah selepas Pahang menyamakan kedudukan 1-1 dan prestasi lebih baik dipamerkan pemain untuk menambah dua gol pada babak kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 5:14 AM