Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Kelantan perlu meraih tiga mata penuh dalam pertemuan menentang LionsXII di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam ini untuk keluar dari zon bahaya Liga Super.

Kelantan yang kini menghuni tangga ke-10 dengan 11 mata pastinya tidak mahu tersingkir dari saingan liga ini.

Pengendali Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, menyedari kemenangan amat diperlukan sekalipun terpaksa berdepan juara baru Piala FA musim ini, namun mereka tidak akan gentar dan akan berjuang habis-habisan.

Katanya, aksi di Stadium Jalan Besar memerlukan persiapan mental dan fizikal yang baik kerana perlu beraksi selepas berbuka puasa.

“Tempoh rehat selama tujuh hari selepas pertemuan menentang Sime Darby, Sabtu lalu, memberikan kita ruang untuk membuat persiapan bagi perlawanan ini dengan mengadakan latihan pada waktu malam iaitu selepas berbuka kerana kita mahu pemain mengekalkan momentum mereka walau dalam apa keadaan sekalipun.

“Kita mahu bangkit dari kelompok bahaya dalam saingan Liga Super ini, sekaligus mahu menempatkan pasukan pada kedudukan selesa seperti disasarkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) iaitu kelompok empat teratas.

“Saya harap pemain memberi fokus sepenuhnya memburu kemenangan dengan melupakan kekalahan ketika bertemu Lions XII pada aksi final Piala FA lalu dan bangkit semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 6:23 AM