SUP gearbox kesukaan ramai.
SUP gearbox kesukaan ramai.

Sup gearbox, ikan stim dan kebab antara menu istimewa yang disediakan di Hotel Grand Dorsett Subang sempena Ramadan tahun ini.

Menurut Chef de cuisine Grand Dorsett Arih Ahmad, sup gearbox mendapat sambutan ramai pada tahun lalu sebab itulah ia diteruskan tahun ini.

“Gearbox ialah sup enak dimasak menggunakan bahan utama tulang lembu dicampur pelbagai rempah-ratus yang sangat digemari tetamu sebelum ini,” katanya.

Dengan pembabitan 30 cef sepenuh masa dan sambilan, enam kategori masakan bertemakan selera kampung disediakan. Ia membabitkan pelbagai jenis kerabu iaitu kerabu aneka laut, jantung pisang, pucuk ubi dan mangga bersama ulam-ulaman segar diiringi sambal mangga, tomato, cencaluk, budu dan tempoyak.

Hidangan sup pula membabitkan gearbox, tulang kambing berketam dan isi ketam dengan jagung manis bersama nasi putih juga nasi beriani gam ayam berlaukkan sambal sotong petai yang pastinya diminati ramai.

Antara hidangan pembuka selera termasuk lemak nanas ikan masin, ikan keli salai berlada dan kailan goreng bersama sos tiram bawang putih. Turut disediakan kambing bakar bersama nasi mandi, sementara yang sukakan makanan berkuah, boleh memilih mi rebus dan makanan iringan lain di Warong Tok Din.

Penyediaan makanan di warung akan dikekalkan sepanjang Ramadan. Melengkapkan hidangan bufet selera kampung berharga RM140 itu ialah pencuci mulut buah-buahan tempatan, kuih badak rerendam, onde-onde, seri muka, puteri Ayu dan kuih lapis serta bubur cha cha dengan keledek.

Penggemar hidangan Timur Tengah boleh menikmati shawarma bersama manisan ais krim dondurma yang boleh dinikmati di Terazza Brasseri yang dibuka dari jam 6 petang hingga 9.30 malam pada harga RM150 untuk dewasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 11:39 AM