Santiago: Pemain dan jurulatih mengecam pertahanan Chile, Gonzalo Jara semalam selepas dia jelas cuba mencucuk belakang pemain lawan ketika perlawanan tegang suku akhir Copa America menentang Uruguay.

Jara menjadi subjek kecaman media sosial selepas rakaman foto dan video jelas menunjukkan dia menggunakan jari mencucuk belakang seluar Edinson Cavani ketika perlawanan kelmarin yang dimenangi Chile 1-0.

Provokasi itu menyebabkan Cavani dibuang padang selepas pemain Paris St-German itu menepis muka Jara.

Nasib Jara belum pasti semalam dengan badan induk bola sepak Amerika Selatan, CONMEBOL dikatakan akan menjalankan kes disiplin terhadap pemain Chile itu jika menerima bantahan rasmi.

Namun pemain dan jurulatih bersatu hati mengutuk insiden itu terutama bersimpati dengan Cavani kerana bapanya ditahan awal minggu ini selepas terbabit dalam kemalangan maut.

“Terutamanya apabila membabitkan Cavani dan semua masalah yang dialaminya minggu ini, ia mengaibkan,” kata jurulatih Argentina, Gerardo Martino. “Lagipun, Cavani langsung tidak menyentuhnya.”

Jurulatih Colombia, Jose Pekerman turut menyelar Jara apabila menyatakan tindakan pemain itu memburukkan imej sukan itu.

“Semua mahu menang dan setiap orang tertekan untuk menang, tapi saingan itu mestilah mulia,” kata jurulatih veteran kelahiran Argentina itu. “Bola sepak sukan yang ditonton di seluruh dunia. Ada peraturan yang perlu dihormati.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2015 @ 5:12 AM