Gambar yang dipetik daripada  klip video berjudul ‘Perkahwinan pertama gay di Mesir’ menunjukkan dua lelaki bertukar-tukar cincin.
Gambar yang dipetik daripada klip video berjudul ‘Perkahwinan pertama gay di Mesir’ menunjukkan dua lelaki bertukar-tukar cincin.

Kaherah: Lapan lelaki semalam dipenjara kerana didapati bersalah atas tuduhan ‘menggalakkan kegiatan tidak bermoral’ selepas muncul dalam apa yang didakwa video perkahwinan sejenis.

Mereka yang mengadakan majlis perkahwinan itu di atas bot di Sungai Nil, dipenjara tiga tahun setiap seorang.

Klip video itu yang berjudul ‘Perkahwinan gay pertama Mesir’ menunjukkan dua lelaki bertukar cincin dan berpelukan sementara rakan mereka bersorak.

Pejabat pendakwa raya dalam kenyataan yang dikeluarkannya September lalu menyifatkan video itu sebagai ‘perbuatan memalukan dan menyalahi moral awam.’

Meskipun Mesir tidak mengharamkan gay, lelaki yang muncul dalam video itu ditangkap bulan lalu dan menjalani ujian homoseks.

Cara ujian dijalankan itu tidak didedahkan, tetapi ia dipercayai membabitkan pemeriksaan dubur.

Perbicaraan semalam adalah tindakan terbaru pihak berkuasa Mesir dalam kempen terhadap golongan gay dan ateis.

Kempen berkenaan turut menyasarkan kumpulan liberal dan aktivis prodemokrasi serta penunjuk perasaan.

Ketua pendakwa raya Hisham Barakat berkata, video perkahwinan gay itu melanggar kesopanan dan tatasusila masyarakat Mesir.

Awal tahun ini, sebuah mahkamah mendapati empat lelaki melakukan homoseks dan memenjarakan mereka selama lapan tahun setiap seorang.

Polis menahan lelaki terbabit kerana mengadakan majlis membabitkan aksi homoseks. Polis turut menemui pakaian wanita dan mekap ketika menyerbu parti itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:04 AM