Kingston Upon Hill, England: Pengurus Southampton Ronald Koeman percaya pasukannya memiliki kualiti untuk layak ke pertandingan Eropah dan menikmati ‘musim menakjubkan’ dalam Liga Perdana.

Skuad Saints kekal di tangga kedua selepas merekod 10 kemenangan daripada 11 perlawanan hasil kejayaan menundukkan Hull City 1-0 di KC Stadium, kelmarin.

Pengendali dari Belanda itu membuat permulaan cemerlang pada kempen pertamanya dalam bola sepak Inggeris selepas menggantikan Mauricio Pochettino pada musim panas lalu.

Koeman, bekas pertahanan Belanda berkata: “Harapan tinggi, tapi saya suka kerana kami mahu memenangi sesuatu. Pemain bola sepak suka memenangi perlawanan dan jika anda menang, anda akan mempunyai peluang yang baik.

“Mana tahu mungkin kami dapat bermain di Eropah. Semua orang tahu kami berusaha keras setiap hari dan pemain memberi kerjasama baik. Semangat yang dipamerkan juga penting dan kami perlu kekalkannya.

“Mudah untuk mengekalkannya jika anda menang, namun sukar jika kalah. Jika kami kekalkan prestasi seperti ini, kami akan menikmati musim hebat.”

Victor Wanyama mengambil kesempatan kesilapan penjaga gol Hull, Eldin Jakupovic untuk menyumbat gol tunggal perlawanan pada minit ketiga. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:03 AM