AFP

Ottawa: Jerman dan Amerika Syarikat, dua pasukan teratas dalam ranking FIFA, mencipta pertembungan sesama sendiri pada separuh akhir Piala Dunia Wanita semalam selepas masing-masing menyingkirkan Perancis dan China.

Jerman yang berada di ranking nombor satu yang juga juara pada 2003 dan 2007, memenangi penentuan sepakan penalti dramatik 5-4 sekali gus meremukkan hati Perancis apabila perlawanan itu terikat 1-1 selepas 120 minit di Montreal.

Pasukan ranking kedua AS, juara pada 1991 dan 1999, mengatasi China 1-0 di depan hanya 24,000 penonton di Stadium Lansdowne, Ottawa berikutan gol pada babak kedua menerusi kapten Carli Lloyd.

“Keyakinan kami sedikit demi sedikit meningkat dan saya percaya selepas perlawanan ini ia akan banyak membantu kami,” kata Carli.

Keselesaan dialami Amerika jelas tidak dinikmati Jerman.

Pasukan terbaik dunia itu bergelut menentang Perancis yang menduduki ranking ketiga dan terpaksa beraksi pada masa tambahan 30 minit serta sepakan penalti tegang di depan 25,000 penonton di Montreal yang kebanyakannya bertutur bahasa Perancis.

Louisa Necib, yang dianggap “Zidane Wanita” bola sepak Perancis, kecewa terlepas peluang menjaringkan gol hanya selepas 49 saat sebelum dia akhirnya membuka tirai jaringan pada minit ke-64.

“Kami lebih bagus, kami mendominasi tapi mereka akan beraksi pada separuh akhir,” kata Louisa.

“Ia perasaan yang sama apabila anda tewas iaitu kecewa.”

Celia Sasic menyamakan kedudukan buat Jerman menerusi sepakan penalti enam minit sebelum tamat dan pada masa tambahan pemain gantian Gaetane Thiney mensia-siakan peluang lewat buat Perancis layak ke separuh akhir kali kedua berturut-turut.

Kapten Jerman, Nadine Angerer muncul pemain terbaik perlawanan apabila penjaga gol itu menyelamatkan sepakan penalti terakhir pemain gantian Claire Lavogez, 20, pada penentuan sepakan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 5:19 AM