JODIE meraikan jaringannya ketika berdepan Argentina. -Foto Reuters
JODIE meraikan jaringannya ketika berdepan Argentina. -Foto Reuters
AFP

PHIL Neville memuji kesepakatan pasukan England apabila mereka menyertai Jerman, Perancis dan Itali dalam kelompok 16 terakhir Piala Dunia Wanita selepas berhempas pulas untuk menewaskan Argentina.

Jodie Taylor mengakhiri kemarau 14 bulan tanpa jaringan untuk membantu England menewaskan Argentina untuk mara ke peringkat kalah mati dan kini hanya memerlukan satu mata ke atas Jepun awal pagi Khamis untuk mendahului kumpulan.

Ia bukan kemenangan mudah apatah lagi penjaga gol Vanina Correa, yang berjaya menepis sepakan penalti Nikita Parris pada minit ke-28 dan kemudiannya beraksi cemerlang menyelamatkan percubaan berbahaya Beth Mead, empat minit sebelum rehat.

“Saya fikir mereka luar biasa, kami minta mereka bermain dengan sabar, kawalan, rentak dan kepantasan dan kami mendominasi seluruh perlawanan seperti yang kami lakukan ketika menentang Scotland selain daripada 11 minit pertama itu,” kata Neville.

England menuju ke Nice dengan nasib di tangan mereka selepas malam penuh emosi buat Fran Kirby yang kematian ibu akibat pendarahan otak ketika baru berusia 14 tahun dan Carly Telford.

Malam itu sepatutnya adalah ulang tahun ibunya. Penjaga gol, Carly yang beraksi buat kali pertama dalam kejohanan utama hari ini pula kehilangan ibunya tahun lalu akibat barah.

“Kami satu keluarga. Kami menyedari bahawa ini adalah ulang tahun kelahiran ibu Fran. Jelas sekali dia mendapat kasih sayang daripada ibunya dan betapa dia merindukannya,” kata Neville.

“Kami berharap kedua-dua ibu mereka bangga dengan pencapaian mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2019 @ 10:34 AM