ADAM Ashraf meraikan jaringan gol pertama Malaysia di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO AIZUDDIN SAAD
ADAM Ashraf meraikan jaringan gol pertama Malaysia di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil. FOTO AIZUDDIN SAAD
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki remaja negara menamatkan kempen Piala Dunia Remaja di kedudukan ke-12 apabila tewas kepada New Zealand menerusi penalti shoot-out 3-4 selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 pada masa sebenar penentuan tempat ke-11/12, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara bimbingan Muhamad Amin Rahim menyamai pencapaian pada 2001 di Hobart, Australia serta 2009 ketika menjadi penganjur bersama di Johor Bahru dan Singapura.

The Young Tigers ketinggalan seawal minit ke-4 selepas New Zealand dihadiahkan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Luke Aldred.

Bagaimanapun kelebihan dimiliki New Zealand itu tidak bertahan lama apabila Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari menolak masuk deras menewaskan penjaga gol lawan, Hayden Ganley pada minit ke-6.

Namun sekali lagi skuad negara ketinggalan tiga minit kemudian selepas Sam Lints menjaringkan gol padang untuk New Zealand minit ke-9.

Suku kedua menyaksikan Malaysia berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan, namun beberapa cubaan skuad negara gagal menghasilkan gol.

Bersambung separuh masa kedua, aksi kedua-dua pasukan lebih seimbang tetapi New Zealand dilihat lebih bertahan pada suku keempat dalam usaha mempertahankan kelebihan satu gol.

Berbaki lima minit terakhir perlawanan, skuad negara terus memberi tekanan untuk mendapatkan gol penyamaan dan usaha mereka membuahkan hasil selepas Mohamad Shamir Rizmi Shamsul menjaringkan gol padang minit ke-57 untuk mengheret perlawanan ke penalti shoot-out.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 5:36 PM