FOTO ihsan FIH
FOTO ihsan FIH
Oleh Mohd Radzi Wahab

Antwerp: Malaysia menamatkan kempen peringat kumpulan saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia dengan nada suram apabila

tewas 1-3 kepada Britain, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Tai Beng Hai itu kini terpaksa menunggu keputusan perlawanan Belgium menentang Ireland dalam

perlawanan terakhir Kumpulan B yang akan berlangsung pada jam 12 tengah malam ini bagi mengetahui kedudukan

sebenar dan lawan bakal ditemui dari Kumpulan A di suku akhir.

Skuad negara kini menduduki tempat ketiga daripada lima pasukan bertanding dengan enam mata.

Dalam aksi di Stadium KHC Dragons tadi, Speedy Tigers memulakan aksi dengan banyak bertahan dan sekali-sekala

melancarkan serangan.

Kecuali insiden penyerang Faizal Saari mengalami kecederaan kepala tidak banyak yang menarik untuk diperkatakan

sehingga perlawanan memasuki minit ke-14. Dalam salah satu serangan balas pantas, Muhamad Haziq Shamsul

menjaringkan gol pertama negara dengan pukulan reverse dari pinggir kawasan D yang menewaskan penjaga gol Britain

George Pinner.

Suku kedua pula menyaksikan Britain banyak menggasak, mujur penjaga gol negara Roslan Jamaluddin berada dalam

elemennya untuk tiga kali menafikan usaha pemain lawan. Dia menyelamatkan dua percubaan berturut-turut pada minit

ke-26 dan sekali lagi tiga minit kemudian.

Bagaimanapun Roslan akhirnya tertewas apabila perlawanan separuh masa kedua bermula dengan Britain menyamakan

kedudukan menerusi sudut penalti pada minit ke-31. Tampan Roslan ketika menyelamatkan flik Asheley Jordan menyaksikan

bola jatuh di laluan David Condon yang mudah menolak masuk untuk kedudukan 1-1.

Keputusan itu kekal sehingga berakhir suku ketiga walaupun Britain memperoleh sudut penalti kedua pada minit ke-42

apabila pukulan Ashley tersasar.

Beegitupun, segala-galanya berubah pada 15 minit terakhir apabila Britain menjaringkan dua gol berturut-turut dalam

tempoh seminit. Pada minit ke-49 Ashley Jackson menjaringkan gol menerusi sudut penalti sebelum Sam Ward menjadikan 3-1

hasil gol padang seminit kemudian.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia menamatkan cabaran dengan dua kemenangan dan dua kekalahan.

Kejohanan di Brasschaart ini menjadi medan kelayakan ke Olimpik Rio 2016 dengan tiga pasukan teratas layak secara

automatik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 9:50 PM