Milan: Napoli mengikat penjaga gol simpanan Bayern Munich, Pepe Reina dengan pemain Sepanyol itu kembali kali kedua bersama kelab Serie A, menurut kedua-dua kelab dalam satu kenyataan semalam.

Bekas penjaga gol Liverpool, Reina, menjadi pelapis kepada Manuel Neuer di Bayern yang mana dia tampil dalam tiga perlawanan liga serta meraih pingat juara Bundesliga.

“Pepe Reina meminta kami melepaskannya daripada kontrak kerana dia mempunyai peluang beraksi kerap dalam pasukan utama sebagai penjaga gol Napoli,” kata timbalan pengerusi Bayern, Jan-Christian Dreesen dalam laman web kelab itu (www.fcbayern.de).

Reina, yang dilahirkan di Madrid, bermula dengan pasukan remaja Barcelona dan menghabiskan lima musim di La Liga, dua musim bersama Barca, yang mana dia melakukan 30 penampilan dan tiga musim bersama Villarreal, yang menyaksikannya bermain 109 kali.

Pada 2005, dia berpindah ke Liverpool dan menghabiskan lapan musim serta beraksi 285 perlawanan Liga Perdana dan tampil dua kali pada Piala Dunia 2006 di Jerman bersama Sepanyol yang memberikannya 33 caps.

Di Liverpool, dia menang Piala Super Eropah pada 2005, Piala FA 2006 dan Piala Liga 2012.

Bersama pasukan kebangsaan Sepanyol dia memenangi Piala Dunia 2010 dan dua Kejohanan Eropah pada 2008 dan 2012 termasuk tangga ketiga pada Piala Konfederasi 2009 dan naib juara pada 2013. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 9:49 AM