Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Saluran paip yang membekalkan air untuk sistem penghawa dingin ke beberapa kompleks kerajaan

dan sebuah hotel serta pusat beli belah di Presint 1 di sini, bocor sejak petang semalam selepas terkena mesin

pengorek lubang.

Dalam kejadian 6 petang semalam, kontraktor yang dilantik Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk

penyambungan kabel elektrik berkapasiti tinggi dari Presint 1 ke Presint 12, di sini, dipercayai tidak menyedari

kewujudan paip berkenaan.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat berkata, kebocoran paip itu menyebabkan sistem

penghawa dingin di Kompleks A yang menempatkan pejabat Perdana Menteri; Kompleks B; C; D dan E serta

pusat beli belah Alamanda Putrajaya serta Hotel Everly tidak berfungsi.

"Ketika ini, kerja membaikpulih sedang dilakukan pihak berkenaan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku

cuma sistem pendingin hawa ke semua pejabat di kompleks terbabit terjejas.

"Bagaimanapun, kami sudah mengarahkan pengurusan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan

Marina Putrajaya supaya bersiap sedia dengan menyediakan bilik sekiranya diminta oleh mana-mana

kementerian untuk bermesyuarat, memandangkan hari ini berlangsungnya mesyuarat Kabinet dan pasca

Kabinet,"katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, sebentar tadi.

Aseh berkata, kerja baik pulih dijangka siap sepenuhnya menjelang lewat petang, namun sistem penghawa

dingin dijangka berfungsi sepenuhnya pagi esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 11:04 AM