CALON BN Parlimen Putrajaya Ku Nan melihat lakaran pelan sekolah rendah agama ketika merasmikan majlis pecah tanah di Presint 16, Putrajaya.
CALON BN Parlimen Putrajaya Ku Nan melihat lakaran pelan sekolah rendah agama ketika merasmikan majlis pecah tanah di Presint 16, Putrajaya.
Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Mudah didekati dan mesra dengan sesiapa saja tanpa mengira latar belakang, selain prihatin serta begitu mengambil berat masalah penduduk di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.

Itu personaliti dan sikap calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau lebih dikenali sebagai Ku Nan yang akan mempertahankan kerusi ‘ketua kampung’ yang sudah disandangnya sejak tiga penggal lalu pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004.

Bagi Rusli Samah, 64, yang akan mengundi buat kali keempat di kerusi Parlimen Putrajaya, Rabu ini, menyifatkan Tengku Adnan yang dikenalinya sebagai Ku Nan seorang individu yang memang begitu dekat dengan pengundi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, Ku Nan yang terkenal dengan jolokan ‘ketua kampung’ sentiasa meluangkan masa bersama penduduk dalam pelbagai program kemasyarakatan sama ada majlis rasmi mahupun santai biarpun penduduk mengetahui beliau sentiasa sibuk dengan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh parti dan kerajaan.

“Bayangkan, kalau anda jemput datang kenduri, beliau pasti datang biarpun hanya sekejap. Malah, beliau juga akan meluangkan masa untuk meraikan sambutan hari lahir penduduk dan setiap orang akan terima hadiah masing-masing pada hari berkenaan.

“Saya tidak fikir porang lain dapat melakukan perkara sama seperti yang dilakukan Ku Nan,” katanya yang juga antara 3,000 warga emas di Putrajaya yang menerima kad kesihatan secara percuma disediakan Tengku Adnan.

Berkongsi perkara sama, Fouziah Suhod, 55, berkata, dia kagum dengan semangat Ku Nan dalam usaha mengimarahkan surau dan masjid di sekitar Putrajaya sehingga menganggap rumah ibadat itu sebagai ‘anak angkat’ sendiri.

“Beliau (Ku Nan) cukup menjaga keperluan surau. Bayangkan semua surau ini lengkap dengan kemudahan penghawa dingin, permaidani serta sistem pembesar suara.

“Sebanyak 67 surau dibina di kawasan ini. Setiap kali Ramadan, beliau akan menyumbang sekurang-kurangnya RM5,000 serta barang makanan kering bagi setiap surau untuk keperluan jemaah pada bulan mulia itu,” katanya.

TENGKU Adnan membantu jualan ketika Program Jualan Sentuhan Rakyat Putrajaya di Presint 2, Putrajaya.
TENGKU Adnan membantu jualan ketika Program Jualan Sentuhan Rakyat Putrajaya di Presint 2, Putrajaya.

Bagi golongan muda, Badrol Hanapi Ali, 29, dia bersyukur kerana banyak menerima manfaat hasil daripada khidmat bakti dicurahkan Ku Nan untuk warga Putrajaya yang majoriti adalah kakitangan awam.

“Penduduk di sini mengenali Ku Nan sebagai ketua kampung dan saya rasa beliau layak menerima gelaran itu disebabkan keramahannya selain begitu pemurah kepada sesiapa saja,” katanya yang juga penerima unit kediaman Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang sedang dalam pembinaan di Presint 17 di sini.

Guru taska, Tuan Nur Suhaila Raja Muhammad, 32, berkata, sebagai penduduk Putrajaya, pelbagai keperluan disumbangkan Ku Nan termasuk bantuan persekolahan, bantuan cermin mata serta perkhidmatan bas percuma.

Malah, menurutnya, kebanyakan taska atau tabika di pusat pentadbiran di sini pasti pernah menerima pelbagai bantuan termasuk kemudahan lantai mozek dan penghawa dingin untuk keselesaan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 10:47 AM