SALURAN paip yang membekalkan air untuk sistem penghawa dingin ke beberapa kompleks kerajaan dan sebuah hotel serta pusat beli-belah di Presint 1, Putrajaya bocor sejak petang semalam selepas terkena mesin pengorek lubang.
SALURAN paip yang membekalkan air untuk sistem penghawa dingin ke beberapa kompleks kerajaan dan sebuah hotel serta pusat beli-belah di Presint 1, Putrajaya bocor sejak petang semalam selepas terkena mesin pengorek lubang.
Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Sistem penghawa dingin di bangunan seluruh kawasan di Kompleks A yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, Kompleks B, C dan D serta sebuah pusat beli-belah dan hotel terganggu di sini, akibat kebocoran saluran paip bekalan air dingin berhampiran Loji Pendingin Air di Presint 1, di sini.

Kebocoran dikesan berlaku jam 6 petang kelmarin selepas terkena jentera pengorek lubang bagi kerja penyambungan kabel elektrik berkapasiti tinggi dari Presint 1 ke Presint 12, di sini.

Difahamkan, kontraktor yang dilantik Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk penyambungan kabel elektrik berkenaan tidak menyedari kewujudan paip itu.

Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Aseh Che Mat berkata, kebocoran paip itu menyebabkan sistem penghawa dingin di Kompleks A yang menempatkan pejabat Perdana Menteri; Kompleks B; C; D dan E serta pusat beli belah Alamanda Putrajaya serta Hotel Everly tidak berfungsi.

“Ketika ini, kerja membaikpulih sedang dilakukan pihak terbabit termasuk Telekom Malaysia (TM); Gas District Cooling (GDC); Putrajaya Holdings Berhad (PJH): kontraktor dan TNB,” katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian, semalam.

Turut sama Ketua Pegawai Eksekutif PJH Datuk Azlan Abdul Karim.

Antara jabatan kerajaan yang terbabit ialah Pejabat Perdana Menteri; Jabatan Perdana Menteri; Kementerian Kesihatan; Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA): Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Sumber Manusia (KSM); Kementerian Pelajaran; Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Aseh berkata, sebagai tindakan susulan pihaknya turut mengarahkan pengurusan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan Marina Putrajaya supaya menyediakan bilik sekiranya diminta oleh mana-mana kementerian untuk mengadakan mesyuarat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 8:14 AM