Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Berang dengan kadar sewa premis yang dinaikkan menyebabkan pemilik sebuah pusat kecantikan bertindak ganas merosakkan saluran paip dan membanjirkan premis itu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang kelmarin, suspek dikatakan ‘naik angin’ berikutan tindakan pemilik sebuah pusat perniagaan di Jalan Raja Chulan di sini, menaikkan kadar sewa sebanyak RM30,000 sebulan.

Sumber berkata, perbuatan sabotaj itu dikesan pihak pengurusan pusat beli-belah itu selepas menyedari terdapat paip bocor yang menyebabkan limpahan air di tingkat 20 bangunan itu.

Menurutnya, wakil pengurusan bangunan berkenaan segera membuat pemeriksaan dan mendapati premis yang disewakan kepada pengusaha pusat kecantikan itu mengalami kerosakan teruk.

“Malah, premis itu didapati dilimpahi air berpunca paip yang bocor.

“Cermin premis itu juga didapati pecah manakala penghawa dingin rosak dan berselerak. Malah saluran paip di dalam tandas juga tersumbat dan gagal berfungsi,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 7:00 AM