Oleh Saiful Affendy Sapran


Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei muncul juara Grand Prix (GP) Emas Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas menewaskan wakil Denmark Hans-Kristian Vittinghus 22-20, 21-12, pada final , awal pagi ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Suffolk Country Community College, New York itu, Chong Wei hanya memerlukan 39 minit untuk menewaskan lawannya yang juga pilihan ketiga kejohanan.

Kemenangan itu pastinya cukup bermakna untuk Chong Wei kerana ia kejuaraan pertama diraih bekas pemain nombor satu dunia itu selepas memenuhi hukuman penggantungan lapan bulan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berikutan gagal ujian doping.

Penggantungan Chong Wei bermula dari ujian doping yang dilakukan ketika Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark pada 30 Ogos tahun lalu sehingga 30 April tahun ini.

Sebaik tempoh hukuman itu berakhir, Chong Wei membantu skuad negara dalam acara berpasukan pada saingan Piala Sudirman serta di Sukan SEA Singapura sebelum menyertai GP Emas Terbuka AS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 6:30 AM