Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei kembali menikmati detik kemenangan selepas muncul juara Grand Prix (GP) Emas Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila menewaskan wakil Denmark Hans-Kristian Vittinghus 22-20, 21-12 pada pentas final semalam.

Kejuaraan itu pastinya cukup bermakna kepada Chong Wei kerana kejuaraan pertama diraih bekas pemain nombor satu dunia itu selepas memenuhi hukuman penggantungan lapan bulan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berikutan gagal ujian doping.

Pada perlawanan di Suffolk Country Community College, New York itu, Chong Wei hanya memerlukan masa 39 minit untuk menewaskan lawannya yang juga pilihan ketiga kejohanan.

“Saya gembira dengan prestasi cemerlang di Terbuka AS. Ini kejuaraan pertama selepas sembilan bulan tidak beraksi dalam kejohanan individu.

“Terima kasih kepada semua yang tidak jemu memberi sokongan kepada saya,” katanya menerusi akaun Facebook milkinya.

Sementara itu, jurulatih perseorangan negara Hendrawan yang mengiringi Chong Wei di AS jelas puas hati dengan prestasi bekas pemain nombor satu dunia itu.

“Selepas sembilan bulan tidak menikmati sebarang kejuaraan, ini permulaan yang bagus untuk Chong Wei walaupun saingan ini hanya berstatus GP Emas,” katanya.

Penggantungan Chong Wei bermula dari ujian doping Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark pada 30 Ogos tahun lalu hingga 30 April tahun ini.

Sebaik tempoh hukuman itu berakhir, Chong Wei membantu skuad negara dalam acara berpasukan Piala Sudirman serta di Sukan SEA Singapura sebelum menyertai GP Emas Terbuka AS.

Chong Wei bakal menyertai Terbuka Kanada bermula hari ini hingga 28 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 8:17 AM