NJWA ( kiri) dan Imran. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
NJWA ( kiri) dan Imran. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Amirul Haswendy Ashari


Tidak semua janji mampu dikota, malah ada janji yang terlerai di tengah jalan.

Namun, janji yang diungkap 11 tahun lalu antara Imran Ajmain dan Najwa Mahiaddin atau NJWA untuk bekerjasama akhirnya ditunaikan menerusi lagu duet, Sentiasa Merinding, dua tahun lalu.

Biarpun lahir dalam dua dunia berbeza, Imran dan NJWA akui mempunyai persamaan jalan cerita yang sama.

“Latar cerita kami sama iaitu tampil dengan genre R&B dan hip hop. Rakan kami, Az Avex Azman yang kami panggil Evan memulakan cadangan ini.

“Malangnya pada masa itu, NJWA berada di New York dan saya pula baru kehilangan ayah dan berada di Belanda selama hampir tiga tahun kerana menemani ibu yang mengalami kemurungan,” kata Imran.

Mereka akui Evan tidak putus asa memujuk untuk bekerjasama menghasilkan projek ini.

Kebetulan pula rakan mereka itu berada di Australia menjadikan kerjasama yang dicadangkan itu sukar direalisasikan pada masa singkat.

Pendek kata, tiga rakan berada di tiga negara dalam tiga masa berbeza adalah cabaran utama dalam kerjasama ini.

“Kami ada berhubung menggunakan aplikasi Skype tetapi sukar kerana perbezaan waktu di tiga negara itu.

“Malah capaian Internet di tempat kami berada juga berbeza antara satu sama lain. Lalu kami putuskan kaedah Skype tidak membantu,” katanya.

Imran berkata, mereka kemudian menukar cadangan untuk merakam bahagian masing-masing dan berhubung melalui e-mel.

Hasilnya, projek itu berjaya direalisasikan dan dirakam hujung tahun lalu.

Imran dan NJWA bersyukur kerana lagu yang sudah dilancarkan beberapa minggu lalu itu mula mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik tempatan.

Paling mengejutkan ialah ia berjaya berada di tangga teratas beberapa carta muzik dalam talian seperti Spotify.

Mereka akui lagu itu mungkin tidak serancak lagu lain yang acap kali dimainkan di stesen radio tempatan tetapi penangan Sentiasa Merinding di media sosial melangkaui sempadan.

Kata mereka, selama bergiat dalam bidang muzik, mereka tidak pernah mendapat sokongan padu seperti penyanyi lain yang sering mendapat jutaan tontonan di YouTube.

Apatah lagi kerana mereka sedar, cakupan muzik mereka lebih terarah kepada pendengar urban yang sukakan sentuhan moden pop, R&B, jazz dan hip hop.

Untuk karya duet pertama ini, mereka memilih untuk menyerapkan elemen Melayu supaya ia lebih luas penerimaannya.

“Apabila melihat respons diterima lagu duet ini di laman media sosial, kami terkejut. Sambutannya cukup meriah. Melalui kemas kini terbaru digital, kami dapati Sentiasa Merinding berada dalam 50 Teratas Tular Malaysia Spotify,” kata Imran gembira.

Mahu nyanyi dengan muzik ‘live’

Imran dan NJWA mahu membudayakan persembahan secara langsung dengan barisan pemuzik pada setiap persembahan mereka.

Ia jauh berbeza dengan segelintir penyanyi yang selesa dengan penggunaan ‘minus one’ atau ‘miming’ dalam persembahan mereka.

“Kita perlu langgar aliran ini demi memastikan kualiti muzik yang dipersembahkan dijaga. Susunan muzik itu sangat penting dalam penyampaian sesebuah lagu. Saya sendiri sedari dulu memang memilih untuk menyanyi secara langsung dengan pemuzik berbanding diminta menyanyi menggunakan minus one,” kata NJWA.

Andai ada permintaan daripada penganjur untuk membuat persembahan secara minus one, mereka berdua setuju untuk menolaknya.

Menurut mereka, perubahan perlu ada dalam senario muzik tanah air. Jika dilihat pada pemuzik dan penyanyi luar negara, mereka sudah lama menerapkan budaya ini dalam setiap persembahan mereka.

Terbaru, NJWA menganggap kejayaan Sering Merinding sebagai batu loncatan untuk menghasilkan karya baru tahun depan.

Untuk EP terbaru, dia bakal bereksperimen dengan budaya dengan menyuntik elemen klasik seperti gamelan.

Disebabkan itu juga dia menjenamakan semula namanya daripada Najwa Mahiaddin kepada NJWA supaya lebih terbuka penerimaannya di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2017 @ 3:16 AM