ATLET dan pegawai SMKKJ meraikan kejayaan muncul juara kali ketiga berturut-turut.
ATLET dan pegawai SMKKJ meraikan kejayaan muncul juara kali ketiga berturut-turut.
Oleh Fauzi Rahim Mustafa

Sungai Petani: Kontinjen SMK Khir Johari (SMKKJ) mencipta hatrik kejuaraan selepas mengungguli Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Kedah (MSSK) daerah Kuala Muda/Yan (KMY) 2015 Ke-48 di padang SMK Tunku Ismail, baru-baru ini.

Mengumpul keseluruhan 35 pingat dengan 17 emas, 11 perak dan 8 gangsa, SMKKJ mengetepikan pesaing terdekat, SMK Dato’ Bijaya Setia yang mengutip 11 emas, 10 perak, 3 gangsa dan ketiga, SMK Aman Jaya (9 emas, 2 perak, 1 gangsa).

Ketua kontinjen SMKKJ, Zali Omar berkata, mereka berpuas hati dengan komitmen 48 atlet yang bertanding kali ini.

“Tahun lalu kami muncul juara hanya dibezakan melalui penentuan kutipan pingat perak dan gangsa dengan SMK Aman Jaya di saat akhir selepas terikat dalam pungutan emas iaitu 17 pingat.

“Pada edisi kali ini semua atlet sudah diingatkan agar memberi tumpuan dan mengutip emas acara kegemaran masing-masing. Syukur, mereka melakukannya untuk mengetahui lebih awal kami adalah juara edisi 2015,” katanya.

Zali berkata, usaha gigih guru akhirnya direalisasikan atlet yang terpilih mewakili sekolah dengan membuktikan pemilihan mereka tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 7:52 AM