Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Keputusan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak membenarkan lagi sembilan pemain Johor Darul Ta’zim (DT) mewakili pasukan Harimau Malaya dianggap tindakan tidak profesional.

“Saya berharap dia (Tunku Ismail) dapat bertenang dan tidak terburu-buru membuat keputusan yang boleh merugikan pasukan negara di pentas antarabangsa kerana kebanyakan pemain Harimau Malaya kini bersama Johor DT.

“Tanpa kelibat sembilan pemain Johor DT usaha jurulatih Dollah Salleh membentuk pasukan mantap adalah sukar,” kata bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail.

Menurutnya sikap bertenang perlu ada pada Tunku Ismail kerana dalam sukan bola sepak kejayaan tidak dapat dikecapi dalam tempoh masa singkat.

“Jika sembilan pemain Johor DT tidak dibenar beraksi... kerugian bukan saja kepada pasukan kebangsaan tetapi juga skuad Johor DT.

“Kepuasan pemain hanya akan sampai ke kemuncak apabila terpilih mewakili negara di pentas antarabangsa namun jika peluang itu disekat, tidak mustahil ramai pemain akan meninggalkan Johor DT satu hari nanti,” katanya.

Kelmarin, akhbar ini menyiarkan kenyataan Tunku Ismail yang menggesa pengurusan Harimau Malaya tidak menggunakan khidmat sembilan pemain Johor DT yang sering dipersalahkan apabila pasukan kebangsaan tewas. Selasa lalu skuad Harimau Malaya diaibkan Palestin 0-6 di gelanggang sendiri.

Jamal Nasir mahu peminat bertenang dan bersabar sebaliknya tidak sesuka hati menuding jari menyalahkan jurulatih di atas kekalahan itu kerana Dollah sudah berusaha yang terbaik.

“Saya yakin Harimau Malaya boleh bangkit jika mendapat sokongan semua pihak termasuk persatuan bola sepak negeri dalam melahirkan pemain berbakat bermula di peringkat remaja.

“Hari ini hanya beberapa negeri saja mempunyai akademi bola sepak...selebihnya hanya berpeluk tubuh seolah-olah melambai pemain luar untuk beraksi dengan mereka terutama pada saingan Liga Malaysia ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 8:05 AM