TUNKU Ismail
TUNKU Ismail
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Sudah tiba masanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapatkan khidmat jurulatih luar yang berkelayakan bagi membimbing skuad Harimau Malaya dengan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) bersedia membantu mendapatkan bajet.

Hakikat itu disuarakan sendiri Penaung Diraja PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi entri terbaru Johor Southern Tigers, semalam yang menggesa FAM memecat ketua jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh secepat mungkin selain memperbaiki segera apa yang mampu sebelum imej bola sepak negara semakin hancur.

Langkah yang disarankan Tunku Ismail wajar selepas Harimau Malaya dibelasah Emiriah Arab Bersatu (UAE) 10-0 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Stadium Mohammed Zayed, Abu Dhabi, kelmarin.

“Cukup-cukuplah kita berperangai bodoh sombong. Pecat Dollah secepat mungkin dan cuba memperbaiki apa yang kita mampu sebelum imej bola sepak tanah air semakin hancur.

“Cuma saya menggesa syaratnya adalah untuk memberikan semua pasukan yang bertanding dalam negara hak penyiaran yang sepatutnya mereka terima iaitu sebanyak 70 peratus hingga 80 peratus.

“Setakat untuk mendapatkan khidmat jurulatih luar dan menguruskan liga tempatan, FAM tidak perlu lebih daripada 20 hingga 25 peratus bahagian daripada pendapatan hak penyiaran itu,” kata Tunku Ismail.

Usaha Tunku Ismail untuk memastikan hak penyiaran diberi sama rata kepada persatuan bola sepak negeri dan kelab kerana dana diperoleh daripada hak penyiaran itu membolehkan program akar umbi dilaksanakan dengan lebih tersusun.

Beliau juga menegaskan kepentingan mewujudkan akademi bola sepak yang lebih dinamik dan diuruskan secara profesional kerana ia menjadi titik permulaan untuk memastikan mentaliti pemain ke arah sikap profesionalisme dan menghargai kerjaya sebagai pemain bola sepak.

Katanya lagi, pemain yang sedia ada tidak boleh diselamatkan lagi, tetapi mereka tidak boleh dipersalahkan kerana segala-galanya berpunca daripada FAM.

“Kita perlukan kepakaran luar dan kita sebagai pendukung bola sepak tanah air perlu mengubah sikap diri sendiri terlebih dulu sebelum mengubah sikap pemain bola sepak negara.

“Justeru, mana-mana ahli jawatankuasa dalam badan induk bola sepak negara yang sudah lama berada di situ, tapi tidak berfungsi, lebih baik bercuti panjang sahajalah,” tegas Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:17 AM