Kuala Lumpur: Jasad Puan Sri Siti Amirah Kusuma, 83, mangsa terakhir rakyat Malaysia dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 sudah dikenalpasti.

Siti Amirah adalah nenek tiri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Perkara itu dimaklumkan Hishammuddin selepas jasad itu disahkan pasukan forensik di Belanda, semalam.

“Syukur Alhamdulillah mayat kesemua penumpang (rakyat Malaysia) yang menjadi mangsa tragedi MH17 dikenal pasti.

“Ini satu tanggungjawab serta janji yang ditunaikan Perdana Menteri kepada keluarga mangsa serta rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media, di sini, selepas menyempurnakan penutupan Konvensyen UMNO Selangor di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Saya diberitahu bahawa keluarga Allahyarham ingin mengebumikan jenazah di Amsterdam memandangkan anaknya menetap di sana. Oleh itu, tiada lagi istiadat penghormatan akan dilakukan di negara ini,” kata Hishamuddin.

Dengan perkembangan terbaru itu, kesemua 43 jenazah rakyat Malaysia kini dikenalpasti.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila pesawat itu ditembak jatuh di timur Ukraine, 17 Julai lalu.

Sehingga ini, 278 jenazah daripada 298 mangsa dikenal pasti oleh pasukan forensik di Pusat Perubatan Tentera di Hilversum, Belanda.

Hishammuddin berkata, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai akan melakukan tindakan susulan bagi menentukan kesemua mangsa tragedi mendapat pengadilan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 12:24 AM