MOHD Ajib  (belakang lima dari kanan) bersama pasukan pengurusan jenazah dan sebahagian ahli keluarga mangsa  MH17 ketika dihantar ke Amsterdam, Belanda untuk menguruskan jenazah.
MOHD Ajib (belakang lima dari kanan) bersama pasukan pengurusan jenazah dan sebahagian ahli keluarga mangsa MH17 ketika dihantar ke Amsterdam, Belanda untuk menguruskan jenazah.
LOKASI nahas pesawat MH17 terhempas  berhampiran perkampungan Grobovo, Ukraine.
LOKASI nahas pesawat MH17 terhempas berhampiran perkampungan Grobovo, Ukraine.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Redzuan Muharam

"PENGALAMAN dilantik menjadi Ketua Penyelaras Pasukan Pengurusan Jenazah Jakim bagi mangsa pesawat MH17 tetap segar dalam ingatan dan memberikan pengalaman yang cukup berharga," kata Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail.

Dia yang ketika itu menjawat jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dihantar ke Ukraine dan rumah mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage, Belanda pada Ogos 2014 untuk menguruskan jenazah mangsa MH17 beragama Islam.

"Amanah besar dan tugasan menguruskan jenazah mangsa tragedi penerbangan MH17 Malaysia Airlines di Belanda antara momen sukar dilupakan sehingga kini.

"Semua jenazah mangsa terbabit selesai menjalani proses pengecaman dan kenal pasti identiti di Kem Perubatan Tentera Hilversum, Belanda.

"Jenazah yang diletakkan di dalam bilik yang ditetapkan di rumah mayat itu kemudian menjalani proses embalming (awet) sebelum boleh dimandikan atau dikafankan.

"Sekiranya jenazah itu lelaki, proses embalming akan dilakukan oleh pekerja lelaki Monuta Innemee.

MOHD Ajib  (kiri) ketika berada di rumah mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage, Belanda yang menempatkan jenazah mangsa pesawat MH17 pada Ogos 2014.
MOHD Ajib (kiri) ketika berada di rumah mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage, Belanda yang menempatkan jenazah mangsa pesawat MH17 pada Ogos 2014.

"Kemudian, kami akan meminta pasukan memandikan jenazah lelaki dan perempuan untuk menjalankan tugas dengan kelengkapan pakaian khas serta peralatan memandikan jenazah yang dibawa dari Malaysia," katanya.

Beliau selaku koordinator pasukan Jakim sepanjang tugasan di Belanda memaklumkan, proses memandikan jenazah dimulakan oleh ketua pemandi jenazah dengan dibantu semua anggota pasukan berdasarkan pada jantina jenazah.

"Malah, kaedah tayamum dilakukan jika jenazah itu tidak sesuai dimandikan menggunakan air dengan mengambil masa sekurang-kurangnya 30 minit.

"Selesai proses mandi jenazah atau tayamum berkenaan, proses mengkafan jenazah dilakukan dengan cermat menggunakan kain kafan berserta kapas diikuti lapisan plastik sebelum diikuti lapisan kain putih semula.

"Jenazah siap dikafankan ini kemudian dimasukkan ke dalam keranda dan diletakkan ke dalam sebuah bilik khas," katanya.

Beliau melahirkan rasa gembira berikutan amanah besar negara dan ahli keluarga mangsa MH17 dapat disempurnakan oleh pasukan khas Jakim yang diterbangkan khas ke Kiev, Ukraine sebelum diterbangkan pula ke Amsterdam, Belanda dua minggu selepas itu setelah diputuskan pengurusan jenazah perlu dibuat di Monuta Innemee, S-Gravenhage, Belanda.

"Tanggungjawab ini bukan mudah. Namun kewajipan fardu kifayah ini berjaya dilaksanakan kami ketika itu dengan kerja berpasukan," katanya.

Untuk rekod, kumpulan pertama 20 jenazah warga Malaysia membabitkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang ke Malaysia dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas Malaysia Airlines pada 22 Ogos 2014.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur meletup dan terhempas apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Seramai 43 daripada mereka adalah warga Malaysia.

JENAZAH siap dikafankan  kemudian dimasukkan ke dalam keranda  dan diletakkan di dalam  bilik khas.
JENAZAH siap dikafankan kemudian dimasukkan ke dalam keranda dan diletakkan di dalam bilik khas.

Tiga tahun kemurungan

"BUKAN mudah untuk menerima kenyataan ini (kehilangan ibu akibat tragedi MH17) walaupun enam tahun sudah berlalu," kata Diyana Yazeera Yazli, 21.

Dia yang juga anak tunggal Ketua Pramugari MH17, Allahyarhamah Dora Shahila Kassim memberitahu masih berjuang dengan emosi dan kesedihan mendalam susulan kehilangan ibunya itu.

Dora seorang daripada 15 anak kapal pesawat MH17 yang ditembak jatuh peluru berpandu oleh tentera pemberontak pro-Russia di Donetsk Timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

"Saya bukan saja kehilangan ibu tercinta, tetapi sahabat yang berkongsi hidup dalam hampir semua perkara.

"Malah, saya mengambil masa yang lama untuk menerima kenyataan pahit ini apatah lagi tragedi berlaku ketika saya baru berusia 15 tahun," katanya.

Dia memberitahu mengalami titik kegelapan dalam hidupnya selama kira-kira tiga tahun sehingga berusia 18 tahun.

KUALA LUMPUR 16 JULAI 2020. Diyana Yazeera, 21 ketika temu bual untuk rencana liputan khas sempena ulangtahun tragedi MH17. NSTP/ASWADI ALIAS.
KUALA LUMPUR 16 JULAI 2020. Diyana Yazeera, 21 ketika temu bual untuk rencana liputan khas sempena ulangtahun tragedi MH17. NSTP/ASWADI ALIAS.

"Saya didiagnosis mengalami kemurungan, insomnia dan kegelisahan. Susulan itu saya terpaksa mendapatkan rawatan daripada beberapa pakar psikiatri antaranya di Hospital Selayang," kata bekas pelajar Kolej Tunku Kurshiah (TKC) di Seremban, Negeri Sembilan.

Dia bagaimanapun berterima kasih atas sokongan moral rakan yang membantunya menangani dan mengatasi masalah dihadapi selain memberi kekuatan untuk meneruskan hidup.

"Arwah ibu adalah individu yang penyayang namun tegas. Dia mengutamakan disiplin dan rasa hormat selain amat mengutamakan pendidikan.

"Dia selalu mengingatkan saya supaya belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dalam pelajaran. Malah, setiap malam sebelum tidur, dia sering menasihati supaya saya tidak terlalu mengejar kemewahan dan tidak mudah ditipu dengan kemasyhuran serta kekayaan.

"Apa yang utama baginya adalah bersikap merendah diri dan hati yang mulia," katanya yang kini melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di kampus Brickfields Asia College (BAC) di Petaling Jaya.

Diyana bersyukur apabila usahanya menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dibantu ahli keluarga yang banyak menampung pembiayaan pengajiannya.

"Malah, saya turut bekerja dan berusaha memohon biasiswa dengan harapan dapat memperoleh dana bagi menyelesaikan pengajian saya di United Kingdom.

"Saya masih mempunyai dua tahun lagi sebelum memperoleh ijazah. Saya perlu berjaya supaya arwah ibu bangga dengan apa yang saya usahakan untuknya," katanya sebak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 9:00 AM