Jakarta: Menteri Luar Indonesia semalam menuntut jawapan daripada Canberra berhubung dakwaan pegawai Australia membayar ribuan dolar untuk memaksa bot pendatang berpatah balik ke perairan Indonesia.

Retno Marsudi menuntut jawapan itu selepas Perdana Menteri Australia Tony Abbot enggan menafikan dakwaan berkenaan.

Menurut Retno, Indonesia memandang serius sekiranya dakwaan kapten dan lima kru bot yang membawa pencari suaka politik dibayar AS$5,000 seorang oleh pegawai imigresen Australia supaya bot itu kembali ke perairan Indonesia didapati benar.

Kapten dan kru itu memberitahu perkara itu kepada polis di Pulau Rote, timur Indonesia, tempat bot membawa 65 pendatang berkenaan mendarat hujung Mei lalu selepas dipintas tentera laut Australia.

Perbalahan mengenai perkara itu memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara berikutan tindakan Indonesia melaksanakan hukuman mati ke atas dua penyeludup dadah Australia April lalu.

Pihak berkuasa Indonesia sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan pembayaran kepada kru bot yang membawa pendatang dari Bangladesh, Myanmar dan Sri Lanka itu yang dipintas oleh tentera laut Australia ketika dalam pelayaran ke New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:06 AM