Sydney: Perdana Menteri Australia semalam sekali lagi enggan menafikan dakwaan seorang pegawai membayar ribuan dolar untuk memaksa sebuah bot membawa pendatang berpatah balik ke Indonesia.

Pihak berkuasa Indonesia kelmarin mendesak Abbot untuk membuat kenyataan mengenai perkara itu.

Australia sebelum ini didakwa membayar kapten dan lima kru bot berkenaan sebanyak AS$5,000 (RM17,700) seorang menerusi seorang pegawai imigresen supaya mereka berpatah balik ke Indonesia.

Pertelingkahan mengenai kejadian itu memburukkan lagi hubungan kedua-dua negara.

Abbot semalam hanya berkata, mesej penting bagi Indonesia dan juga pengundi Australia ialah kerajaannya bersedia melakukan apa saja apa saja untuk menghentikan penyeludup manusia daripada mengangkut pencari suaka dengan bot ke Australia.

“Adalah penting bagi rakyat Australia menyedari bahawa negara ini ada kerajaan yang akan memastikan tiada lagi pendatang masuk ke negara ini dengan bot.

“Dan adalah penting bagi Indonesia untuk mengetahui bahawa kerajaan Australia mahu melihat kegiatan penyeludup manusia ini terhenti,” katanya kepada wartawan.

Dia juga berkata, menghentikan kegiatan itu membawa kebaikan kepada kedua-dua negara dan membantu mengekang pencari suaka daripada membahayakan diri mereka.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia Arrmanatha Nasir berkata kelmarin, Jakarta mahu mendapatkan penjelasan daripada negara jirannya itu mengenai pembabitan wang dalam isu berkenaan.

“Jika benar, ia akan memberi tamparan baru kepada perhubungan kedua-dua negara,” katanya. - Ap

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 11:28 AM