Jakarta: Kerajaan Indonesia akan berkongsi dengan Singapura nama syarikat yang terbabit dalam pembakaran hutan sehingga menyebabkan jerebu supaya tindakan tegas boleh dikenakan terhadap firma berkenaan.

Jakarta menyatakan perkara itu selepas Menteri Luar Singapura, K Shanmugam menghubungi rakan sejawatnya dari Indonesia, Retno Marsudi bagi melahirkan kebimbangan mengenai krisis jerebu yang berlarutan.

Shanmugam memberitahu Retno, tindakan tegas perlu diambil terhadap syarikat berkenaan dan menggesa Jakarta berkongsi nama firma itu.

Retno berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan akan memberi maklumat itu kepada Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura tidak lama lagi.

“Shanmugam menyambut baik tindakan ini dan Singapura akan mengambil tindakan paling tegas terhadap syarikat yang didedahkan Jakarta itu,” kata Kementerian Hubungan Luar dalam satu kenyataan kelmarin. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:04 AM