SEBUAH kapal peronda pantai China yang dirakam berhampiran kepulauan Natuna.
SEBUAH kapal peronda pantai China yang dirakam berhampiran kepulauan Natuna.

Jakarta: Setiausaha Kabinet Indonesia, Pramono Anung berkata, kerajaan tidak mahu memanjangkan insiden di kepulauan Natuna dengan China yang menyebabkan hubungan kedua-dua negara tegang.

Insiden pada 19 Mac lalu itu berlaku apabila sebuah kapal peronda pantai China melanggar sebuah bot nelayan China yang ditarik kapal peronda Indonesia.

Pramono memberitahu, insiden itu adalah salah faham dan kerajaan tidak mahu memanjangkan lagi dan menganggap ia sudah selesai.

“Sudah pasti kami (Jakarta dan Beijing) saling menghormati sempadan Indonesia dan tradisi China,” katanya di Pejabat Presiden, di sini kelmarin.

Tambahnya, pendirian jelas Jakarta dalam menyokong penyelesaian secara damai mengenai isu di Laut China Selatan masih tidak berubah.

Sebelum kenyataan Pramono itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dikunjungi ketua biro hubungan antarabangsa Parti Komunis China, Song Tao di Istana Merdeka pada tengah hari kelmarin.

Sebelum ini, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi memanggil pegawai kedutaan China bagi membantah pencerobohan kapal peronda negara itu di wilayah Indonesia.

Retno menegaskan bahawa, China perlu menghormati undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2016 @ 9:56 AM